PBAPP guna klorin rawat air, elak kencing tikus

GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP) menggunakan klorin bagi merawat air mentah sekaligus membunuh bakteria yang boleh menyebabkan leptospirosis atau penyakit kencing tikus.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa dalam kenyataan akhbar bertarikh 2 September lalu memaklumkan bahawa penggunaan klorin itu adalah berlandaskan tatacara operasi standard PBAPP.

“Ia (penggunaan klorin) adalah tatacara operasi standard kami (PBAPP) untuk mengekalkan kebersihan dan keselamatan semua loji rawatan air setiap hari, juga memastikan kualiti dan keselamatan air terawat di Pulau Pinang.

“(Malah) air paip di negeri ini dianggap selamat setiap masa dan tiada sebarang insiden leptospirosis atau penyakit bawaan air lain yang disebabkan oleh air terawat di Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan tersebut di sini.

Menurutnya, penggunaan klorin juga adalah untuk memastikan keselamatan kakitangan PBAPP yang bertugas di Loji Perawatan Air (LPA) bebas dari ancaman leptospirosis.

Jaseni dalam pada itu memberitahu, PBAPP turut menasihati orang ramai khususnya pekhemah dan pendaki supaya memasak air mentah sebelum minum atau membawa sendiri bekalan air minuman.