Bentang enakmen baru ternak khinzir di DUN Nov. – Exco

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB  

SUNGAI BAKAP – Kerajaan Negeri akan membentangkan rang undang-undang bagi enakmen penternakan khinzir pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang November ini.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata, suatu dasar baharu akan digubal dengan memberi lebih kuasa kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar demi menjamin keselamatan makanan, kebersihan operasi ladang serta memberi keselesaan hidup untuk komuniti sekeliling.

“(Enakmen penternakan khinzir) ini adalah enakmen baharu yang akan memberi lebih kuasa kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar, juga untuk menangani isu pencemaran air dan udara.

“Dari segi garis panduan, denda dan hukuman dalam enakmen yang akan dibentangkan ini akan lebih ketat,” jelasnya kepada pemberita selepas meninjau sendiri sekitar kawasan GEMS International School dekat Bandar Tasik Mutiara di sini 5 September lalu.

Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Dato’ Maktar Shapee yang juga Timbalan Yang di-Pertua DUN serta wakil Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Dalam lawatan itu, Afif menyatakan bahawa Pengetua GEMS International School, Glen Mundy memaklumkan mengenai masalah lalat dekat sekolah swasta itu, dipercayai dari kawasan ladang ternak haiwan di sini.

“Ini adalah projek inovatif MPSP, kita (MPSP) akan pasang perangkap lalat di Sekolah Antarabangsa GEMS (GEMS International School) bermula 6 September (2016).

“Kita akan pasang satu dahulu dan kita akan tengok bagaimana keberkesanannya, kebetulan ketika ini iklim lembab dan hujan,” ujarnya yang juga ADUN Seberang Jaya.

Dalam perkembangan lain, Afif memberitahu, Kerajaan Negeri masih belum meneliti garis panduan terbaru Kerajaan Pusat mengenai kewajipan pemasangan perangkap nyamuk solar demi mencegah penularan virus Zika, untuk diimplementasikan di Pulau Pinang juga.

Difahamkan, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mewajibkan pemasangan perangkap nyamuk solar di setiap projek Program Perumahan Rakyat (PPR) serta projek penarafan kawasan rekreasi, di bawah penyelenggaraan kementerian.

document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);