Exco jawab Menteri isu peruntukan Pusat selenggara jalan P. Pinang

GEORGE TOWN – Peruntukan tahunan Kerajaan Pusat sehingga 31 Mac lalu untuk membiayai kerja-kerja penyelenggaraan jalan-jalan di negeri ini direkodkan sebanyak RM23.61 juta, bukanlah RM27.37 juta sebagaimana disebut Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof pada 5 Mei lepas.

Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng berkata, daripada rekod pengurusan Kumpulan Wang Amanah Penyelenggaraan Jalan Negeri Pulau Pinang (MARRIS), dalam tahun 2015 sehingga 31 Mac, jumlah pemberian diterima daripada Kerajaan Persekutuan untuk membiayai kerja-kerja penyelenggaraan jalan-jalan negeri adalah sebanyak RM23.61 juta.

“Jumlah tersebut kemudian diagihkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan & Saliran (JPS), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan kelima-lima Pejabat Daerah untuk kerja-kerja penyelenggaraan jalan dengan perbelanjaan sebenar sehingga 31 Mac 2015 sejumlah RM15.77 juta bersamaan 66.79 peratus.

“Baki selebihnya adalah dalam tanggungan bagi projek kerja – kerja penyelenggaraan jalan yang sedang dalam pelaksanaan dan pembayaran akan hanya dibuat setelah projek disiapkan dan disahkan kesempurnaannya,” katanya dalam kenyataan bertulisnya kepada wartawan di sini baru-baru ini.

Justeru, Hock Seng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal menyatakan bahawa kenyataan Fadillah mungkin hanya merujuk kepada JKR sahaja dan tidak menyeluruh kerana tidak dimasukkan butiran peruntukan-peruntukan disalurkan kepada agensi pelaksana lain seperti PBT, JPS dan pejabat-pejabat daerah.

Dalam pada itu, Hock Seng turut memberi penjelasan pada kenyataan Fadillah yang mendakwa Jabatan Audit Negara pada tahun lepas menegur Kerajaan Negeri Pulau Pinang kononnya hanya membelanjakan RM52.69 juta daripada keseluruhan RM63.47 juta peruntukan Kerajaan Persekutuan untuk kerja-kerja penyelenggaraan jalan-jalan negeri.

Daripada pembentangan Laporan Ketua Audit Negara, Hock Seng memberitahu bahawa peruntukan MARRIS atau Kumpulan Amanah Penyelenggaraan Jalan Raya Negeri Pulau Pinang tahun 2014 kepada Kerajaan Negeri adalah berjumlah RM94.62 juta, manakala sebanyak RM100.57 juta bersamaan 106.3 peratus telahpun dibelanjakan.

“Daripada laporan Ketua Audit Negara tersebut juga, dan exit conference pada 28 April 2015 telah memuji keupayaan agensi-agensi Negeri dalam melaksanakan projekprojek penyelenggaraan jalan-jalan negeri, dan bukan seperti kenyataan membidas (oleh) Yang Berhormat Menteri Kerja Raya,” respons Hock Seng.