Nur Aliah Olahragawati Harapan

SEBERANG JAYA – Ratu Skuasy Negara, Dato’ Nicol Ann David sekali lagi dipilih menjulang Anugerah Perdana TYT Pulau Pinang, sekaligus mengulangi rekod cemerlangnya selama tujuh musim sejak tahun 2004.

Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas sendiri menyerahkan anugerah tersebut kepada semua 11 penerima terpilih pada Majlis Anugerah Sukan Negeri Pulau Pinang 2014 yang dilangsungkan di sini baru-baru ini.

Nicol yang baru menamatkan saingan separuh akhir Terbuka British di Hull, England pada 16 Mei lalu, diwakili oleh ayahnya, Desmond David.

Manakala, penerjun negara, Ooi Tze Liang, 22, pula muncul sebagai olahragawan baru negeri berdasarkan kejayaannya mencipta sejarah baru negara dengan membawa pulang pingat emas pertama dalam acara terjun kategori lelaki pada saingan Sukan Komanwel Glasgow, tahun lalu.

Tze Liang turut diwakili oleh ayahnya, Ooi Hong Cherng, 57, disebabkan beliau sedang menjalani latihan persediaan di China sempena kejohanan Sukan SEA nanti.

Nicol dan Tze Liang masing-masing menerima piala pusingan, piala iringan, sijil penghargaan dan wang tunai berjumlah RM3,000.

Anugerah Olahragawan dan Olahragawati Harapan 2014 dirangkul oleh dua atlet muda daripada sukan karate, Ooi San Hong, 15, dan skuasy, Nur Aliah Izzati Muhammad Anis, 15.

Mereka berdua turut membawa pulang piala iringan, sijil penghargaan dan wang tunai berjumlah RM3,000.

Skuad Karate Do (Kata) muncul pasukan lelaki terbaik selepas menampilkan aksi membanggakan dengan meraih emas dalam kejohanan Asian Karate – Do Federation (SEAKF) yang ketiga di Vietnam tahun lepas.

Sementara pasukan skuasy yang dibarisi Nicol, Loo Wee Wern dan Vanessa Raj menjadi pasukan wanita terbaik menerusi pencapaian mereka dalam menggondol emas semasa Sukan Asia Incheon di Korea Selatan yang lepas.

Pemenang anugerah berkenaan membawa pulang piala pusingan, piala iringan, sijil penghargaan dan wang tunai berjumlah RM2,500.

Anugerah Tokoh Pemimpin Sukan 2015 pula diberikan kepada Mejar (B) Wan Abdul Hamid Wan Mahmood atas kewibawaannya dalam memajukan arena sukan tinju di peringkat negara dan negeri.

Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga, Masyarakat, Chong Eng dalam ucapannya merakamkan ucapan tahniah kepada semua penerima anugerah.

“Diharapkan penghargaan, anugerah dan ganjaran yang diterima oleh semua atlet dapat membakar lagi semangat semua pihak agar lebih tekun memburu kejuaraan untuk tahun depan pula,” jelas Chong Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang.

Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim, Dato’ Seri Farizan Darus (Setiausaha Kerajaan Negeri) dan Dato’ Freederick Tan Teck An (Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang, MSNPP) turut hadir pada majlis tersebut.

—