Exco Kebajikan nasihat awam jangan tertipu sindiket pengemis jalanan

GEORGE TOWN – Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh berharap peluncuran kempen ‘Bijak Membantu, Elak Tertipu’ dapat meningkatkan kesedaran awam mengenai sindiket penipuan dengan berpura-pura menjadi golongan pengemis jalanan.

Ketika berucap, beliau turut menasihatkan semua pihak supaya berhati-hati dengan peminta sedekah palsu, bertopengkan nama agama dan pertubuhan kebajikan.

“Sindiket atau bilangan pengemis kian bertambah sejak tahun 2014… pengemis-pengemis tersebut adalah terdiri daripada orang tempatan dan juga pendatang asing.

“Mereka menggunakan pelbagai taktik untuk menipu umum melalui aktiviti mengemis dan meminta sedekah,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu pada majlis berkenaan di sini 23 November lalu.

Sempena peluncuran kempen itu, menurut Boon Poh, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri akan menyiarkan kempen elektronik melalui papan iklan digital dekat Simpang Enam bertentangan Jalan Dato’ Keramat, skrin besar di Komtar
dan ICT Digital Mall.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pegawaipegawai JKM serta beberapa ketua jabatan kerajaan berwajib yang turut menyertai majlis peluncuran kempen nilai tersebut.