Festival Makanan Jom Jiak! saji kepelbagaian makanan popular

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : WONG BOON FOEI

BUKIT TAMBUN – Penganjuran Festival Makanan Jom Jiak! yang diadakan sempena sambutan ulang tahun pertama Design Village Outlet Mall (DVO) pada 24 November lalu bukan sahaja menyajikan  pelbagai makanan berkonsepkan kafe,
malah turut menghidangkan makanan-makanan popular Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, festival makanan yang berlangsung selama tiga hari itu membolehkan pengunjung menikmati kepelbagaian sajian makanan di bawah satu bumbung.

“Lebih 100 peniaga makanan turut serta dalam penganjuran yang julung kali diadakan di sini, antaranya restoran nasi kandar tertua di Pulau Pinang, Restoran Hameediyah; Mee Sotong Seeni; Air Itam Sister Curry Mee; Laksa Penang Road, Post Office Fried Oyster dan beberapa operator kendera saji di negeri ini.

“(Dan) di Pulau Pinang di mana ada makanan, di situlah ada pelanggan kerana jolokan yang diberikan oleh ramai pelancong, Pulau Pinang Syurga Makanan,” ucapnya menyempurnakan majlis pelancaran penganjuran festival itu di sini.

Hadir sama, Pengerusi PE Land Sdn. Bhd., Datuk Jason Tai, Pengarah Urusan PE Land Sdn. Bhd., James Ling dan Pengarah Eksekutif PE Land Sdn. Bhd., Joanna Ling.

Selain menyajikan kepelbagaian makanan, festival tersebut turut diserikan dengan pelbagai persembahanan daripada penghibur jalanan (busker), kugiran dan penampilan chef selebriti.

Pada masa sama, para pengunjung juga berpeluang menyertai bengkel penyediaan makanan dan aktiviti kekeluargaan yang di adakan sepanjang tiga hari penganjurannya.

Upacara tembakan bunga api ke udara sebagai gimik perasmian disaksikan lebih 1,000 pengunjung yang hadir memeriahkan Festival Makanan Jom Jiak!.

Difahamkan dari Januari hingga Oktober 2017, seramai 1,431,666 pengunjung dicatatkan dengan jumlah jualan mencecah RM101 juta pada kadar RM70.76 seorang pengunjung berbelanja di sini. Manakala pengunjung dari Thailand, Singapura dan China pula direkodkan berjumlah 16,736 orang.