Exco kesal KPDNKKN enggan kerjasama operasi pantau harga

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

JELUTONG – Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim kesal dengan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri (KPDNKKN) yang dipercayai enggan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri berhubung inisiatif pemantauan harga barangan terutamanya menjelang musim-musim perayaan di sini.

Menurutnya, sikap sedemikian menunjukkan pihak terbabit (KPDNKKN) kurang profesional dalam menangani isu berkaitan rakyat terutamanya membabitkan harga barangan.

“Walaupun mungkin terdapat perbezaan ideologi politik antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat, namun ia patut diketepikan apabila hal berkaitan kepentingan rakyat seperti pemantauan kenaikan harga barangan pada musim perayaan.

“KPDNKKN merupakan agensi yang lebih arif dalam soal tersebut (pemantauan harga barangan), misalnya mereka (KPDNKKN) boleh mengetahui sama ada penimbang yang diguna peniaga menepati syarat atau sebaliknya,” ujarnya sejurus menjalankan pemantauan harga di Pasar Awam Jelutong sempena sambutan Deepavali di sini baru-baru ini.

Turut serta, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Pejabat Daerah Timur Laut.

Tambah Abdul Malik, ia bukan kali pertama KPDNKKN tidak mengendahkan layanan jemputan daripada pihak beliau.

“Justeru, kami (Kerajaan Negeri) terpaksa menjalankan sendiri operasi pemantauan harga ini demi kepentingan rakyat,” tegasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.

Sependapat dengan Abdul Malik adalah Penghulu kawasan Jelutong, Khalid Zakaria yang menyifatkan ketidakhadiran KPDNKKN dalam operasi berkaitan menyebabkan kuasa pemantauan serta penguatkuasaan adalah agak terbatas.