Penyatuan rakyat ke arah negeri contoh

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

BATU LANCHANG – Portfolio Perhubungan Masyarakat yang menjadi tanggungjawab Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon adalah bertujuan mengerat dan mengutuhkan silaturrahim antara semua kaum.

Katanya, beliau ingin lihat kepelbagaian kaum dan lapisan masyarakat disatukan supaya masyarakat di Pulau Pinang berada pada keadaan yang amat baik, harmoni serta mampu dicontohi.

“Ini sememangnya cita-cita Kerajaan Negeri dalam merealisasikan moto Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat kepada suatu realiti,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak pada ucapan pembukaan Karnival Santai Rakyat Daerah Timur Laut di sini baru-baru ini.

Karnival yang berlangsung di tapak parkir Pasar Awam Batu Lanchang tersebut turut disertai beberapa jabatan kerajaan dan swasta antaranya Jabatan Pertahanan Awam, Kementerian Kesihatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Di-raja Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan lain-lain.

Pemeriksaan kesihatan, pameran, tarian zumba, walkathon, pertandingan mewarna dan jualan pelbagai barangan turut memeriahkan penganjuran berkenaan.

Hadir sama, ADUN Batu Lanchang, Law Heng Kiang, ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim, ADUN Komtar, Teh Lai Heng, Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi Chuan Aun dan Pegawai Daerah Timur Laut, Azizi Zakaria.