Exco & Kumpulan Sunway edar 1,000 bekas bubur lambuk, kongsi nikmat bulan Ramadan

Admin

GEORGE TOWN – Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin dan Kumpulan Sunway berkesempatan menyantuni penjawat awam dan pengunjung di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) dekat sini, hari ini.

 

DR. Afif Bahardin.

Beliau bersama-sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng dan Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon yang juga TImbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat sempat mengagihkan 1,000 bekas bubur lambuk, juadah lazim ketika bulan Ramadan.

 

KAKITANGAN Kumpulan Sunway tidak melepaskan peluang bergambar kenangan bersama-sama dif kehormat sebelum mengagihkan bubur lambuk di sini.

Ketika ditemui, Dr. Afif menzahirkan penghargaan kepada Kumpulan Sunway atas inisiatif berkongsi kenikmati bulan Ramadan dengan masyarakat umum.

 

“Terima kasih kepada Kumpulan Sunway atas program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ke arah ‘zero hunger‘ ini dan berharap program kebajikan seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang dalam menyantuni masyarakat khasnya ketika musim menyambut perayaan,” ujarnya yang juga ADUN Seberang Jaya.

 

Difahamkan, program edaran bubur lambuk yang disediakan khas oleh chef berpengalaman ini merupakan program kali kedua selepas edaran pertama 1,000 bekas diedarkan di Masjid Daerah Seberang Perai Tengah dekat Bandar Perda semalam.

ORANG ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan bubur lambuk istimewa.

 

ANTARA kakitangan Kumpulan Sunway yang turut turun padang.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING