Exco harap pesawah cakna jadual pengairan di Pinang Tunggal

Admin

PINANG TUNGGAL – Kerja-kerja penarafan sistem pam elektrik di Rumah Pam Pinang Tunggal dengan kos sebanyak RM3,595,000 dijangka siap sepenuhnya pada hujung tahun ini.

Mengulas lanjut, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembanguna Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berharap ia dapat menangani kecekapan pam-pam dengan mengepam air pada pada paras yang lebih rendah untuk dibekalkan ke petak-petak sawah kelak.

“Pam yang sedia ada boleh mengepam air serendah 1.9 meter (m) saja, tapi kelak pam yang akan dinaik taraf ini boleh mengepam pada paras air yang lebih rendah iaitu 1.4m untuk dibekalkan ke kawasan sawah padi.

“Projek untuk pasang pam baru ini, diharapkan siap pada hujung tahun ini,” ujarnya kepada pemberita selepas melawat tapak projek Skim Pengairan Pinang Tunggal di sini, pagi ini.

Dr. Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya memberitahu, pihaknya berharap para pesawah cakna dengan langkah pelepasan air secara berjadual, untuk memastikan aktiviti penanaman serta hasil pertanian tidak terjejas sebagaimana musim kemarau panjang yang melanda negeri ini pada beberapa tahun lepas.

“Pada 15 April kita dah mula beri bekalan dan jadual kedua pada 6 Mei serta jadual ketika mula pada 10 Mei lalu.

“Jadi, sekarang ini kita dah mula bekalkan air, kita lepaskan dari sini (Rumah Pam Pinang Tunggal), alirkan ke lokasi-lokasi (petak sawah) yang sepatutnya.

“Cuma, apabila air mula dibekalkan, petani kena bersedia mulakan proses penanaman padi.

“Kita tak boleh jamin bekalan air pada masa hadapan, tapi kita boleh kawal bekalan air yang kita ada pada hari ini.

“Sekurang-kurangnya bekalan air yang kita ada, kita boleh urus, kita boleh pam dan alirkan secara berjadual,” jelasnya.

Pengarah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA), Noor Mazirah Teh turut menyertai lawatan kerja tersebut.

Teks dan Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB