Exco pantau projek rumah lewat 14 tahun

Admin

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo mengumumkan bahawa Jawatankuasa Pembersihan Proses Perolehan Perumahan (SPEC) telahpun menerima satu senarai mengandungi 1,182 projek berstrata di kawasan pulau di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, kesemua projek terbabit adalah tertakluk kepada moratorium (penangguhan) untuk tempoh 10 tahun bagi pembeli kali pertama rumah kos rendah (KR) dan kos sederhana rendah (KSR).

“Senarai melibatkan 174,564 unit rumah kos rendah dan kos sederhana rendah ini telahpun diserahkan kepada Pejabat Daerah dan Tanah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai terma rujukan untuk transaksi dan penilaian pihak berwajib,” katanya yang merujuk kepada polisi perumahan baharu diumumkan dalam pembentangan Bajet 2014 negeri baru-baru ini.

Tambah Jagdeep, mekanisma pengenalan polisi perumahan baharu tersebut bukan sahaja dapat memanjangkan tempoh moratorium, tetapi juga memperkenalkan tempoh moratorium baru iaitu lima tahun bagi perumahan mampu milik milikan kerajaan dan swasta.

Malah, pengenalan skim perkongsian pemilikan (SOS) dan pengenalan semula skim sewa beli mampu memberi
kawalan terhadap spekulasi hartanah di Pulau Pinang.

“Pendek kata, polisi perumahan baharu ini mampu mengawal dan menetapkan harga rumah mengikut spesifikasi perumahan iaitu RM42,000 bagi rumah kos rendah dan RM72,500 bagi rumah kos sederhana rendah di Pulau Pinang,” jelasnya dalam sidang media baru-baru ini.

Dalam perkembangan berasingan, Jagdeep menjelaskan bahawa isu pemaju Centrio Avenue (Nuwata Sdn. Bhd.) di Bukit Gambir di sini telah hampir selesai apabila 43 daripada 56 kes tertunggak berjaya menemui penyelesaian.

“Dalam mesyuarat minggu lalu, SPEC telah menyatakan akan menyelesaikan baki aduan kes iaitu sebanyak 56 kes.

“ Walau bagaimanapun, tiga daripada pembeli tidak berminat akan unit ditawarkan, tidak dapat dihubungi (3), pembeli masih dalam proses perbincangan (6) dan mendapat rawatan di hospital (1), jadi kita tidak dapat berhubung dengannya,” jelas beliau.

Sementara itu, mengulas lanjut, Jagdeep menyatakan bahawa beliau telah mengarahkan pemaju projek Taman Seri Sayang di Balik Pulau untuk mengemukakan laporan pembangunan secara mingguan memandangkan projek berkenaan lewat 14 tahun.

“Kita (SPEC) akan membantu pembeli di Taman Seri Sayang dan saya sendiri akan memantau perkembangan
pembangunan projek berkenaan mulai hari ini,” tegas beliau sebagai respons terhadap aduan pembeli yang menuntut jawapan daripada pihak pemaju setelah menunggu selama 14 tahun.