Exco puji sumbangan pesawah negeri

Oleh : AHMAD ADIL MUHAMAD

SEBERANG JAYA – Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan memuji sumbangan pesawah di negeri ini ekoran kejayaan mengekalkan hasil pengeluaran walaupun dilanda musim kering yang panjang pada pertengahan tahun lalu.

Exconya, Dr. Afif Bahardin berkata demikian semasa hadir merasmikan Majlis Penyampaian Insentif Kawalan Padi Angin 2014 di sini baru-baru ini.

Menurut Afif, walaupun pesawah di Pulau Pinang mempunyai sumber terhad, hasil tuaian adalah lebih tinggi berbanding dengan negeri-negeri lain.

“Pada musim kering tahun lalu, Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang menganggarkan kerugian keseluruhan hasil padi adalah sebanyak RM153 juta.

“Secara keseluruhan, walaupun petak sawah kelihatan kecil, tetapi apabila dikumpulkan, ternyata hasil tanaman ini memberi sumbangan ekonomi yang besar kepada negeri ini,” katanya pada majlis berkenaan di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang, Ahmad Munir Yusoff.

Pada majlis tersebut, lebih 20 pesawah menerima insentif dan sijil kerana berjaya mengungguli Pertandingan Bebas Padi Angin dianjurkan agensi berkaitan.

Serentak itu, Afif turut berpesan kepada para pesawah supaya merebut peluang disediakan Tabung Usahawan Tani Muda oleh Kerajaan Negeri.

“Objektif tabung ini dibangunkan adalah untuk mewujudkan generasi pelapis dan menggalakkan penglibatan anak muda dalam industri pertanian… justeru, saya amat berharap para pesawah yang hadir hari ini dapat mewariskan bidang diceburi kepada anak-anak mereka.

“Jika tiada pewaris dalam industri ini, segala hasil, projek dan infrastruktur yang telah dibina akan dibiarkan begitu sahaja dan terbengkalai,” ujarnya.

Padi angin adalah sejenis padi yang masak lebih awal iaitu antara 10 hingga 25 hari berbanding (padi) yang ditanam serta mempunyai sifat biji mudah lerai. Kehadirannya di sawah boleh menyebabkan kehilangan hasil tuaian antara 10 hingga 90 peratus.

document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);