GEORGE TOWN – Menteri Komunikasi, Yang Berhormat Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil bakal mendahului senarai penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang Tahun 2026 sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-85 Yang Di-Pertua Negeri, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Ramli Ngah Talib.
Beliau ialah penerima tunggal Darjah Panglima Pangkuan Negeri (D.P.P.N) yang membawa gelaran Dato’ Seri.
Mengikut senarai yang dikeluarkan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang merangkap Pengerusi Majlis-Majlis Rasmi Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Seri Law Choo Kiang, seramai 19 penerima dianugerahkan Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (D.G.P.N) yang membawa gelaran ‘Dato’ Seri’.
Antara penerimanya ialah Pengerusi MARA Incorporated Sdn. Bhd. (MARA Inc), Datuk Wira Abdul Halim Mohammad; Ketua Pegawai Eksekutif InvestPenang, Dato’ Loo Lee Lian; Pengarah Urusan Pelita Samudra Pertama (M) Sdn. Bhd., Tan Sri Dato’ Murugan a/l Doraisamy; Hakim Besar Malaya, YAA Datuk Seri Hashim Hamzah; Pengarah Urusan, Menara Rezeki Sdn. Bhd., Dato’ Saiful Nizam Mohd. Yusoff serta Pengerusi M Summit Group, Dato’ Moh See Eng.
Selain itu, Mantan Ketua Polis Pulau Pinang, Dato’ Ts. Azizee Ismail dan Pengarah Urusan, UEM Group Berhad, Datuk Amran Hafiz Affifudin antara sembilan (9) penerima Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri (D.M.P.N.) yang membawa gelaran Dato’.
Manakala seramai 72 penerima akan menerima Darjah Setia Pangkuan Negeri (D.S.P.N.) yang membawa gelaran Dato’, antara penerimanya ialah pelakon filem Melayu merangkap pengarah serta penulis skrip Cathay-Keris Film Productions, Allahyarham Nordin Ahmad; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Pulau Pinang, Mohamed Abdul Rahman; Setiausaha Bandaraya Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Mohd. Ibrahim Md. Nor; Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Meor Ismail Meor Akim; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Abdul Latiff Abd. Aziz serta Pengarah Projek SRS LRT Sdn. Bhd., Adil Putra Ahmad.
Turut sama menerima ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Penang Skills Development Centre (PSDC), Dr. Hari Narayanan a/l P. Ondiveeran; Ketua Pegawai Eksekutif IJM Land Berhad, Datuk Ling Thou Lung; Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd. Irwan Mohd. Mubarak; Pengarah Urusan merangkap CEO Ancom Nylex Berhad, Datuk Lee Cheun Wei; Pengarah Global Vygon, Thanapathy a/l Kumaraiah dan Pengarah Eksekutif Silcotech Industry Sdn. Bhd., Yeoh Lik Jin.
Selain itu, seramai 92 individu dikurniakan Darjah Johan Negeri (D.J.N), Bintang Cemerlang Negeri (B.C.N) (31 penerima), Pingat Kelakuan Terpuji (P.K.T) (194), Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K) (328), Pingat Jasa Masyarakat (P.J.M) (463) dan Pingat Bakti Setia (P.B.S) (12).
Secara keseluruhan, pada tahun ini seramai 101 orang akan menerima penganugerahan Darjah Kebesaran, manakala 1,120 orang bakal menerima Bintang dan Pingat Kehormatan yang terdiri daripada Anggota Perkhidmatan Awam Negeri dan Persekutuan, Ahli Politik, Ahli Korporat, Anggota Pertubuhan Bukan Kerajaan, Usahawan-usahawan Tempatan dan Ahli-ahli Badan Sukarelawan.
Senarai penuh penerima adalah seperti yang terkandung dalam Buku Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang Tahun 2026 melalui pautan berikut: https://heyzine.com/flip-book/3cf47c3ea6.html.
Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang akan berlangsung selama empat hari iaitu pada 11 Julai serta 13 hingga 15 Julai ini di Dewan Sri Pinang.