BUKIT TENGAH – Rancangan Tempatan (RT) Seberang Perai 2030 yang bakal menjadi RT pertama Pulau Pinang dijangka akan diwartakan selewat-lewatnya pada Oktober tahun ini.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, pewartaan tersebut bakal menjadi satu pencapaian penting dalam menentukan hala tuju pembangunan masa depan Seberang Perai.
Menurut beliau, pewartaan Rancangan Tempatan Seberang Perai akan menyediakan satu rangka kerja pembangunan fizikal yang komprehensif bagi memastikan penggunaan tanah dapat dioptimumkan, di samping mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan keperluan masyarakat setempat.
“Rancangan Tempatan Seberang Perai akan diwartakan dalam beberapa bulan lagi iaitu selewat-lewatnya Oktober tahun ini.
“Pewartaan tersebut akan menjadi panduan kepada pembangunan fizikal di Seberang Perai ke arah mewujudkan sebuah bandar yang terancang dan tersusun, dengan penggunaan tanah yang optimum serta menjaga kepentingan masyarakat menerusi pembangunan yang seimbang,” katanya pada sidang media usai merasmikan Projek Naik Taraf Kawasan Lapang Taman Mangga di sini sebentar tadi.
Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa Kerajaan Negeri kekal komited untuk menarik pelaburan dan membangunkan infrastruktur, namun menegaskan bahawa penyediaan kemudahan komuniti perlu dirancang seiring dengan perkembangan ekonomi.
“Kita mengejar pelaburan dan pembangunan infrastruktur, tetapi pada masa sama tidak mengabaikan keperluan penyediaan kemudahan komuniti,” ujarnya.
Beliau memberitahu bahawa proses pameran awam bagi Rancangan Tempatan Seberang Perai telah selesai, dan kini Kerajaan Negeri sedang menuju ke fasa pewartaan.
Tambah Kon Yeow, sebaik sahaja pelan tersebut diwartakan, sebarang permohonan untuk menukar zon guna tanah akan dilaksanakan secara lebih tersusun dan tertakluk kepada proses perundangan yang lebih ketat.
Beliau menjelaskan bahawa penukaran zon masih dibenarkan, namun tidak lagi akan dilakukan secara ad hoc seperti sebelum ini.
“Hal ini bukan bermaksud tiada lagi penukaran zon selepas pelan tempatan diwartakan, sebaliknya, proses perundangan yang sama perlu dipatuhi, termasuk mengadakan pameran awam dan sesi pendengaran awam,” jelasnya.
Kon Yeow dalam pada itu menyatakan bahawa berbanding mempertimbangkan setiap permohonan penukaran zon secara berasingan apabila diterima, Kerajaan Negeri bercadang mengumpulkan sejumlah permohonan terlebih dahulu sebelum menjalankan semakan secara rasmi, yang dijangka dilakukan sekali setiap satu atau dua tahun.
“Kita tidak akan melakukannya setiap bulan, sebaliknya kita akan mengumpulkan sejumlah permohonan yang munasabah sebelum menjalankan proses pertimbangan,” ulasnya lanjut.
Menurut Kon Yeow, pendekatan baharu itu akan memberikan lebih kepastian dan konsistensi dalam membuat keputusan berkaitan perancangan pembangunan.
Menyentuh mengenai Draf Rancangan Tempatan (Pulau) Pulau Pinang 2030, beliau memberitahu bahawa dokumen tersebut masih dalam proses semakan semula selepas beberapa kelemahan dikenal pasti dalam draf terdahulu.
“Seperti yang diketahui, kita sedang menyediakan semula pelan tersebut selepas kelemahan ditemui dalam draf asal,” ujarnya.
Malah, Kon Yeow berkata bahawa draf yang telah disemak semula itu masih perlu melalui proses pameran awam sebelum boleh diteruskan ke peringkat seterusnya, namun yakin keseluruhan proses akan diselesaikan sebelum tahun 2030.
“Draf Rancangan Tempatan (Pulau) Pulau Pinang pasti akan disiapkan sebelum tahun 2030, mungkin dalam tempoh setahun lagi,” jelasnya.
Kon Yeow dengan itu turut menyifatkan kejayaan menyiapkan dan mewartakan Rancangan Tempatan Seberang Perai sebagai satu pencapaian besar selepas melalui tempoh yang begitu panjang.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMMAD IQBAL HAMDAN
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS