Fasa 2 TPS Jalan Utama siap September ini

Admin

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

DATOK KERAMATPenantian lebih 15 tahun (mengikut rekod bertulis Majlis Perbandaran Pulau Pinang, MPPP) para peniaga di Tapak Penjaja Sementara (TPS) Jalan Utama (belakang Hospital Pulau Pinang, HPP) untuk berniaga di lokasi lebih selesa berakhir hasil inisiatif Kerajaan Negeri bersama MPPP menaiktaraf lokasi popular berkenaan.

Baru-baru ini, barisan kepimpinan Kerajaan Negeri diketuai Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng hadir pada Majlis Perasmian Penyempurnaan Fasa 1A tapak berkenaan di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Yang diPertua MPPP, Datuk Ar. Patahiyah Ismail, Setiausaha Perbandaran, Ir. Ang Aing Thye, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datok Keramat, Jagdeep Singh dan mantan ADUN Komtar yang kini merupakan Ahli Parlimen Tanjung, Ng Wei Aik.

Seorang peniaga minuman K. Krishnan, 51, ternyata berpuas hati setelah gerainya dinaiktaraf.

“Selama saya berniaga di sini sejak datuk, ayah hinggalah saya dalam tempoh 45 tahun, gerai di sini tidak pernah dinaiktaraf oleh kerajaan lama.

“Bersyukur kepada Kerajaan Negeri dan MPPP yang berjaya melakukan pembaharuan di sini. Kini, kami lebih bersemangat untuk berniaga. Kedai pun bertambah bersih, harap pelanggan pun semakin ramai nanti,” katanya ketika ditemui Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Guan Eng menyatakan bahawa usaha penaiktarafan tersebut adalah selaras dengan matlamat Kerajaan Negeri dalam menjadikan negeri ini bertaraf antarabangsa yang mengamalkan konsep hijau.

“Apabila kita hendak jadi negeri antarabangsa, tempat makan mestilah bertaraf antarabangsa juga.

“Tempat makan merupakan satu aset penting kepada negeri ini kerana Pulau Pinang sememangnya terkenal dengan keenakkan makanannya,” ujar beliau.

Bagi Patahiyah , beliau memberitahu, secara keseluruhanm projek naiktaraf tersebut adalah membabitkan kos berjumlah RM336,398.

“Projek ini dilakukan secara tender terbuka dan Syarikat Sri Padang Maju Enterprise berjaya membida kontrak.

“Kita dapat lihat konsep bangunan yang dimajukan mengenakan bumbung bertingkat di samping tingkap gelongsor bagi pengudaraan dan cuaca yang lebih sempurna.

“Fasa 2 pula sedang berjalan dan dijangka siap September nanti,” jelasnya.