Peruntukan RM220 juta, pembangunan projek tebatan banjir 2017 dikenal pasti

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri telah mengenal pasti pembangunan-pembangunan projek tebatan banjir untuk negeri ini bagi tahun 2017 menerusi peruntukan RM220 juta yang diumumkan pada pembentangan Belanjawan ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, peruntukan tersebut merupakan jumlah paling besar dalam sejarah yang pernah diperuntukan oleh Kerajaan Negeri dalam tempoh 60 tahun sebagai inisiatif untuk mengatasi masalah banjir kilat.

Menurutnya, jumlah RM220 juta tersebut adalah untuk mengatasi cabaran perubahan cuaca yang berlaku kini hingga menyebabkan berlakunya banjir kilat luar biasa.

“Jika kita ikut piawaian lama, sememangnya boleh untuk menghadapi sebarang kemungkinan banjir. Tapi sekarang, masyarakat perlu faham bahawa suhu dunia telah meningkat hingga berlakunya perubahan cuaca tanpa dijangka.

“Musim hujan pendek, tetapi kuantiti air hujan yang turun adalah sangat banyak hingga menyebabkan banjir.

“Maka, untuk menyesuaikan dengan keadaan semulajadi ini, Kerajaan Negeri bertindak secara agresif dengan menukar piawaian baru dan memperuntukkan sejumlah besar dana (RM220 juta) untuk mengatasi cabaran perubahan cuaca,” ujarnya ketika Majlis Perasmian Projek Kerja-kerja Tebatan Banjir dan Menaiktaraf Sistem Saliran di Jalan Transfer dan Jalan Hutton di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Patahiyah Ismail; bekas Setiausaha Bandaraya MBPP, Dato’ Ar. Ang Aing Thye; Pengarah Jabatan Kejuruteraan MBPP, Ir. Addnan Mohd. Razali; Ahli-ahli Majlis MBPP dan Ketua-ketua Jabatan MBPP.

Tambah Guan Eng, secara keseluruhannya, pada tahun 2016, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM59 juta kepada agensi-agensi kerajaan bagi menjalankan kajian dan projek-projek tebatan banjir di seluruh negeri Pulau Pinang.

“Daripada jumlah tersebut, RM36 juta diperuntukkan untuk kawasan pulau, manakala selebihnya RM23 juta, Seberang Perai.

“Manakala, pada tahun 2015, Kerajaan Negeri melalui MBPP telah membelanjakan RM5,293,491.08 dan RM3,230,295.95 (2014) untuk projek-projek menaik taraf sistem perparitan di beberapa kawasan,” ujarnya yang juga ADUN Air Putih.

Dalam pada itu, Kon Yeow yang turut berucap menyatakan bahawa Projek Tebatan Banjir Jalan Transfer dan Jalan Hutton adalah satu daripada beberapa projek yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri bagi menangani masalah banjir kilat di kawasan pulau untuk tahun 2016.

“Melalui peruntukan Wang Caruman Perparitan, sejumlah RM6,053,050 telah diluluskan oleh Jawatankuasa Tebatan Banjir kepada MBPP untuk melaksanakan projek tebatan banjir dan menaik taraf sistem saliran di sini.

“Projek-projek tebatan banjir yang dijalankan adalah bertujuan menguruskan masalah banjir supaya impak banjir dapat dikurangkan kepada tahap yang paling minimum,” jelas beliau yang juga ADUN Padang Kota.d.getElementsByTagName(‘head’)[0].appendChild(s);