FGT berpotensi promosi P. Pinang sebagai hab kreatif & seni

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Festival George Town 2014 (FGT) yang diadakan di beberapa lokasi sekitar sini (George Town) berpotensi menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah hab kreatif dan kesenian utara Semenanjung Malaysia, kata Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng baru-baru ini.

Katanya, para penghibur dan penggiat seni dari beberapa negara di dunia berkumpul di George Town pada 1 Ogos sehingga 31 Ogos (lalu) bagi mengetengahkan persembahan serta kreativiti kesenian masing-masing.

“Saya yakin dengan adanya peluang dan ruang sebegini, hasil karya dan kesenian bukan sahaja warga tempatan, tetapi dari serata dunia dapat dipamerkan dan dipertontonkan kepada umum sepanjang penganjuran FGT ini.

“Ini adalah sejajar dengab usaha Kerajaan Negeri untuk memartabatkan hasil kreativiti dan kesenian para artis serta penghibur,” katanya ketika berucap merasmikan pembukaan FGT di Dewan Sri Pinang di sini baru-baru ini.

Turut merasmikan sambutan tersebut adalah Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Turut hadir, kepimpinan Kerajaan Negeri, Duta Besar New Zealands, H.E. David Pine, Duta Besar Republik Singapura, H.E. Ong Heng Yong dan Duta Besar Austaralia ke Malaysia, H.E. Rod Smith.

Circus Circus, iaitu persembahan menggabungkan teknologi futuristik, artistik dan akrobatik menjadi acara perasmian majlis berkenaan yang turut dipuji para pengunjung. Circus Circus menggabungkan beberapa artis-artis tempatan dan luar negara antaranya dari Thailand, Finland, China dan Jepun.

Dalam pada itu, Guan Eng yang juga merupakan Exco Kebudayaan turut berterima kasih kepada Mohamed Nazri (selaku Menteri Pelancongan) kerana meluluskan geran pelancongan bernilai RM750,000 dalam usaha membangunkan lagi sektor pelancongan di sini. FGT merupakan festival tahunan yang bukan sahaja menyediakan platform bagi penggiat seni, tetapi juga kepada mereka yang mempunyai minat dalam muzik, opera, teater, seni persembahan serta fesyen.

Tahun ini, FGT menyajikan 147 aktiviti termasuk forum, pameran, persembahan dan pertunjukkan fesyen. Maklumat lanjut, layari www. georgetownfestival.com.