Menteri, KM komited kembang potensi pelancongan negeri

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri menyambut baik inisiatif Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan untuk mengembangkan industri pelancongan Pulau Pinang, khususnya di George Town Tapak Warian Dunia UNESCO.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata demikian kepada Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz semasa menteri berkenaan mengadakan lawatan kerja di sini baru-baru ini.

Guan Eng turut menyambut baik pemberian dua kerusi unik disumbang Balai Seni Lukis Negara untuk menghiasi ruang lapang sekitar Secret Gardens of Earthly Delights, sempena menyambut Festival George Town 2014 (FGT) sepanjang Ogos lalu.

“Yakinlah bahawa anda semua akan merasai keunikan hakiki Pulau Pinang, sehinggakan ia akan menjadi destinasi pelancongan pilihan dari seluruh dunia,” ucapnya pada Majlis Perasmian Secret Gardens of Earthly Delights di sini baru-baru ini.

Sebelum itu, Mohamed Nazri menyatakan komitmen untuk membantu Kerajaan Negeri mengembangkan potensi industri pelancongan supaya setaraf dengan destinasi (pelancongan) lain di peringkat dunia.

Komitmen itu dinyatakan semasa majalah New York Times telahpun mengiktiraf Pulau Pinang sebagai antara destinasi pelancongan pilihan terbaik di rantau Asia.

“Saya sangat gembira dengan kejayaan Pulau Pinang dan mungkin mempunyai rancangan yang lebih besar untuk dimaklumkan.

“Saya sendiri berharap Pulau Pinang akan menjadi permata bagi pelancongan Malaysia, bak Bali untuk Indonesia,” jelas Mohamed Nazri sambil melahirkan rasa gembira dengan reaksi positif daripada pentadbiran Guan Eng.

Pengerusi Galeri Seni Kebangsaan, Datuk Mahadzir Lokman, Pengarah GTF, Jeo Sidek, dan Yang di- Pertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Datuk Ar. Patahiyah Ismail turut menyertai lawatan kerja berkenaan.