Flotila P. Pinang juara, pamer hingga 16 Sept.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SUNGAI PINANG – Flotila Negeri Pulau Pinang yang baru menjuarai pertandingan Magic of The Night 2014 di Putrajaya pada Jun lepas akan dipamerkan di perairan berdepan Persiaran Karpal Singh di sini sehingga Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos dan Hari Malaysia 16 September depan.

Menurut Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, flotila bertemakan Simply the Best itu telah berjaya menewaskan 13 flotila lain dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Johor, Kedah Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis, Perbadanan Putrajaya, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu.

“Kejayaan ini tentulah menyuntik semangat Kerajaan Negeri untuk membawa balik flotila yang cantik dan menarik ini ke Pulau Pinang dan dipamerkan dari 15 Julai hingga 16 September di Persiaran Karpal Singh,” ujarnya pada majlis keraian tersebut, anjuran Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) di sini baru-baru ini.

Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Chong Eng, Lim Siew Khim (Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Sungai Pinang) dan Datuk Ar. Patahiyah Ismail (Yang di-Pertua MPPP) serta Mohamed Akhbar Mustapha (Pengarah Jabatan Rekreasi, Pelancongan dan Perhubungan Antarabangsa MPPP) turut hadir pada majlis tersebut.

Guan Eng memberitahu, pembikinan flotila tersebut menelan belanja RM320,000, iaitu RM200,000 disumbangkan Kerajaan Negeri, MPPP (RM20,000) dan Kerajaan Pusat melalui Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (RM100,000).

“(Kos pembikinan) antara yang paling murah, sungguhpun kita (Flotila Kerajaan Negeri Pulau Pinang) adalah antara yang paling cantik,” seloroh Guan Eng.

Sebelum itu, Patahiyah menjelaskan, Flotila Negeri Pulau Pinang menyingkap kecemerleangan Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan paling unggul di rantai ini.

“Asam laksa, Penang Bridge Marathon, Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa dan lukisan dinding wall street art iaitu kanak-kanak berbasikal yang memenangi top 10 best street art oleh The Guardian antara (objek) yang dipamerkan pada Flotila Negeri Pulau Pinang, kerana semua keunikan ini adalah produk pelancongan menarik di Pulau Pinang,” jelas Patahiyah dalam ucapannya.

Justeru, beliau melahirkan rasa yakin pameran Flotila Negeri Pulau Pinang sehingga 16 September depan akan menggandakan lagi kunjungan pelancong ke Pulau Pinang, khususnya di sekitar George Town Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Terdahulu, Flotila Negeri Pulau Pinang telah menjuarai kejohanan Magic of the Night 2014 yang dilangsungkan di Tasik Marina dekat Putrajaya pada 14 hingga 22 Jun lepas.