Operasi giat jamin kebersihan premis – JKN

Oleh: CHEAH JAY LOON

GEORGE TOWN – Sebanyak RM5,550 kompaun dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dalam OPS Bersih Ke-14 yang dijalankan secara bersepadu bersama-sama dua pihak berkuasa tempatan (PBT), Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) di sini baru-baru ini.

Daripada jumlah keseluruhan 23 premis yang diperiksa, tiga premis termasuk restoran, kedai makan dan hotel diarah tutup serta-merta ekoran kesalahan serius yang dikesan.

Timbalan Pengarah Kesihatan, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, JKN, Ku Nafisah Ku Ariffin berkata, operasi tersebut dijalankan serentak di seluruh Pulau Pinang membabitkan kelima-lima daerah di negeri ini.

“Di Daerah Timur Laut adalah membabitkan kawasan Jelutong, Daerah Barat Daya (Balik Pulau dan Teluk Kumbar), Seberang Perai Utara (Kepala Batas), Seberang Perai Selatan (Nibong Tebal) dan Seberang Perai Tengah (Bukit Mertajam dan Seberang Jaya).

“Bezanya, operasi kali ini dijalankan pada sebelah malam dan fokus utama adalah premis-premis hotel, restoran nasi kandar dan sekolah-sekolah berasrama yang menyediakan juadah berbuka puasa,’’ katanya pada sidang media OPS Bersih Ke-14 di sini barubaru ini.

Seramai 84 pegawai dan anggota JKN, MPPP dan MPSP terlibat dalam operasi berkenaan.

Turut diambil adalah sampel makanan berisiko tinggi di premis-premis berkaitan untuk tujuan kajian. Ia termasuk, ulam, ayam bakar, nasi kerabu, cendol, air tebu dan lain-lain.

Menurut Ku Nafisah, operasi tersebut dijalankan untuk memperkasakan program Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan JKN dengan objektif meningkatkan lagi kebersihan premis makanan di negeri Pulau Pinang.

“Operasi sebegini akan terus dijalankan sebagai rutin bulanan pihak unit. Malah, taklimat dan pendidikan kesihatan akan terus diadakan kepada pemegang lesen premis yang menjual makanan khususnya,’’ ujar beliau sambil menyatakan bahawa masih ramai penjual yang tidak menerima suntikan anti tifoid walaupun diberi amaran sebelum ini.