Formula perkongsian 3 pihak, rumah pangsa Jln. Tengah siap dicat

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : SHUM JIAN WEI

GEORGE TOWN – Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon berkata, rumah pangsa Jalan Tengah di sini yang baru siap dicat semula melalui kaedah perkongsian kos antara tiga pihak adalah lebih istimewa ekoran polisi pengecatan adalah berdasarkan formula kerjasama 80:10:10 hasil inisiatif Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin.

Menurutnya, jika sebelum ini Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) memperkenalkan insentif tawaran pelaksanaan pengecatan semula bangunan kediaman bertingkat milik perbadanan tersebut berasaskan kaedah perkongsian kos 80:20, tetapi di atas usaha Tze Tzin, kos 20 peratus tersebut dikongsi secara bersama di antara pihak MC dan Kerajaan Negeri.

“Bagi blok 9 yang siap dicat semula pada 1 Julai lalu, ia menelan belanja berjumlah RM139,800.

“Daripada jumlah itu, PDC menanggung 80 peratus kos daripada jumlah tersebut dengan nilai RM118, 400.

“Manakala, bakinya sebanyak 20 peratus adalah masing-masing dikongsi secara bersama antara MC dan Kerajaan Negeri iaitu sebanyak RM13, 980 setiap pihak.

“Sebagai tambahan, PDC juga telah melakukan kerja-kerja pembaikan kerosakan kritikal seperti memasang lapisan kalis air (waterproofing) dan membaiki bumbung asbestos sedia ada yang siap pada 12 Ogo lalu melibatkan kos RM25,299.50,” ujarnya pada Upacara Penyerahan Rasmi Penyiapan Kerja-kerja Pengecatan Semula Rumah Pangsa Blok 9, Jalan Tengah, Bayan Baru di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Perancangan Bandar & Desa Dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri & Hal
Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim dan Pengurus Besar PDC, Datuk Rosli Jaffar.

Mohd. Rashid dalam pada itu menyeru supaya MC lain di bawah projek pemajuan PDC agar mengambil tawaran perkongsian kos disediakan.

“Ini merupakan kaedah dan saluran terbaik untuk MC supaya berganding bahu dengan PDC dan Kerajaan Negeri bagi membolehkan semua pihak menikmati premis serta kediaman yang lebih selesa dan cantik,” ujar beliau.