Bukit Bendera lulus audit DOSH

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar: SHUM JIAN WEI

AIR ITAM – Pengurus Besar Perbadanan Bukit Bendera (PHC), Dr. Lawrence Khoo tampil menempis dakwaan laporan media yang menyatakan bahawa Certification of Fitness (Sijil Keselamatan Laluan) Keretapi Bukit Bendera yang dikatakan hampir tamat tempoh di sini baru-baru ini.

Jelasnya, pihak PHC lazimnya mengetahui tarikh tamat tempoh berkenaan dan sijil tersebut telah diperbaharui 1 Oktober lalu.

Tambah Lawrence, ketika audit pembaharuan dilakukan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (DOSH), pihak terbabit memandang serius tentang kepadatan pelancong yang dibawa oleh sesebuah gerabak keretapi furnikular di sini pada satu-satu masa.

“Ingin saya jelaskan bahawa keretapi keluaran Switzerland ini mempunyai piawaian keselamatan Eropah di mana kiraan purata berat seorang penumpang adalah bersamaan dengan 75 kilogram (kg). Ini bermakna, satu gerabak mampu menampung seramai 100 orang pada satu-satu masa.

“Bagi piawaian Asia, gerabak ini mampu membawa lebih daripada 100 orang memandangkan purata berat penduduk Asia yang lazim digunakan adalah 60 kilogram,” ujarnya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Sebelum ini, laporan sebuah media cetak mempertikaikan kepadatan penumpang pada waktu puncak dan kurangnya makluman mengenai tempat duduk khas bagi golongan istimewa seperti orang kurang upaya (OKU), warga emas serta ibu mengandung.

Menurut Lawrence, pada laporan pembaharuan Sijil Keselamatan Laluan Keretapi Bukit Bendera baru-baru ini, DOSH lazimnya amat memandang serius mengenai keadaan kepadatan penumpang pada waktu puncak.

“Malah, sebagai tambahan, PHC telah mengambil inisiatif khas melengkapkan keretapi berkaitan dengan Penggera Kapasiti Keselamatan (SWL) yang akan berbunyi sebaik sahaja kapasiti berat mencapai 6,750kg.

“Jika muatan mencapai maksima 7,500kg, keretapi ini secara automatik tidak akan beroperasi. Cubaan tersebut telah dijalankan sebelum Sijil Keselamatan Laluan Keretapi Bukit Bendera diperbaharui pihak DOSH,” jelasnya.

Selain itu, beliau memberitahu bahawa skrin LCD dan pelekat tambahan turut dipasang pada bahagian-bahagian tertentu sebagai makluman tambahan supaya memberi keutamaan kepada golongan-golongan istimewa.