Waspada denggi, jangan ambil mudah, nasihat KM

Admin

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN

BATU MAUNG – Meskipun secara kumulatif sehingga 17 Jun lalu terdapat penurunan 39.28 peratus kes denggi yang dilaporkan berbanding tempoh sama tahun lalu, namun rakyat tetap dinasihati supaya berwaspada.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, demam denggi merupakan penyakit yang boleh membawa maut.

“Ia (demam denggi) merupakan ‘pembunuh’ dalam senyap, sebabitu saya ingin menyeru kepada semua supaya lebih berwaspada dan janganlah ambil mudah.

“Sama-samalah berusaha mewujudkan persekitaran kediaman yang lebih sihat dan bersih,”  katanya ketika mengunjungi kediaman keluarga mangsa denggi, Allahyarhamah Rafiqah Abd. Rashid yang meninggal dunia 17 Jun lalu di Pangsapuri Tenaga Nasional Berhad dekat Sungai Ara di sini.

Turut sama, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim yang juga Exco Kerajaan Negeri serta wakil dari Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP).

Dalam kunjungan itu, Guan Eng turut menyerahkan sumbangan tunai kepada suami Rafiqah, Zawahir Abd. Rahim.

Difahamkan, Rafiqah menerima rawatan di salah sebuah klinik tempatan pada 14 Jun lalu sebelum
disahkan meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP) pada 17 Jun 2017.

Dalam kejadian berasingan, penyakit berbahaya itu turut meragut nyawa seorang murid Tahun 4 dari Sekolah Kebangsaan Bayan Lepas, Nur Farisya Nabila Mohd. Nasir yang disahkan mengidap demam denggi berdarah, 8 Jun lalu.

Sementara itu, melalui kenyataan akhbar Bahagian Kesihatan Awam, JKNPP, di Pulau Pinang sehingga 17 Jun 2017, sebanyak 1, 110 kes denggi dilaporkan berbanding 1,828 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Manakala, enam kematian dilaporkan sehingga minggu ke-24 ( 11 – 17 Jun 2017 )  berbanding 10 kes
tempoh sama tahun 2016.

Ketika ini, 10 lokaliti diklasifikasikan sebagai kawasan wabak iaitu Taman Jasmine, Bayan Lepas (3 kes), Jalan Rawana (4), Taman Perak (3) dan Flat Jalan Kedah (4) dekat George Town, Taman Tun Sardon ( 4 ) dan kediaman Institut Perguruan (3) dekat Gelugor serta Kampung Tersusun (2), Flat Seri Delima (3), Blok Akasia (6) dan Flat Taman Emas (6) dekat Mukim 12 Daerah Barat Daya.

Manakala dua lokaliti diklasifikasikan sebagai ‘hotspot’ iaitu Taman Bukit Jambul (7) dan Sri Wangsa 2 (11), George Town.