Gelanggang bola keranjang Desa Mawar pulih

Admin

AIR ITAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai memperuntukkan sejumlah RM4,700 bagi tujuan membaikpulih dan naiktaraf sebuah gelanggang bola keranjang di rumah pangsa Desa Mawar dekat sini baru-baru ini.

Hon Wai berkata, peruntukan tersebut termasuk kerja-kerja membaiki lantai, pemasangan tiang, papan dan jaring baharu.

“Saya harap dengan kerja-kerja membaikpulih gelanggang ini, ia dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan belia di sini untuk bersukan atau menjalani latihan bola keranjang dalam keadaan lebih selesa terutama ketika musim cuti persekolahan.

“Lagipun, gelanggang ini kini sudahpun mencecah usia 10 tahun dan perlu diselenggarakan dengan sempurna,” katanya pada sidang akhbar sejurus selepas majlis ringkas merasmikan gelanggang tersebut di sini baru-baru ini.

Tambah beliau, inisiatif tersebut turut disambut baik Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Jalan Thean Teik di sini.

Dalam perkembangan sama, Hon Wai turut bercadang untuk menaiktaraf dan membaikpulih kemudahan-kemudahan sukan di 15 kawasan sekitar Air Itam.

“Saya amat berharap ada pihak atau syarikat-syarikat bukan kerajaan (NGO) tampil menyumbang dana untuk membaikpulih, menaiktaraf serta menyelenggara kemudahan-kemudahan sukan di seluruh Air Itam.

“Saya percaya usaha ini mampu melahirkan generasi yang sihat dan gemar bersukan,” ujar beliau ketika mengadakan tinjauan di gelangggang bola keranjang di Desa Mawar baru-baru ini.