Komitmen kerajaan turap jalan setiap 5 tahun

Admin

AIR ITAM– Sejumlah RM508,000 diperuntukan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi kerja-kerja menurap semula 15 jalan di Taman Chor Sin Kheng, Lembah Ria (Happy Valley) dan Jalan Balik Pulau dekat sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai berkata, projek penurapan semula di bawah JKR itu mencakupi sejumlah 20,900 meter persegi (m2).

“Projek penurapan semula jalan ini telah bermula sejak bulan Mac lalu dan akan siap kira-kira tiga bulan selepas itu.

“Ini termasuk kerja-kerja penurapan sejauh dua kilometer (km) di Jalan Air Itam dari Wisma Anak Yatim (Lelaki) hingga ke bulatan menuju ke pasar Air Itam dan Bukit Bendera,” katanya sejurus selepas mengadakan tinjauan projek berkenaan di Taman Chor Sing Kheng di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Hon Wai berkata, penurapan semula di Jalan Kampung Pisang telahpun dilaksanakan dua tahun lalu dengan kos RM40,000 dan turut bercadang untuk menurap semula Jalan Kaki Bukit dalam tempoh terdekat.

“Kerajaan Negeri juga telah megambil pendekatan untuk menurap semula jalan- jalan (di Pulau Pinang) secara sistematik setiap lima tahun, sekaligus menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memberi keselesaan kepada pengguna,” ujar beliau.