Gembira Aidilfitri di rumah baru bantuan asnaf

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

DATUK KERAMAT – Mata Abdul Halim Abdullah, 59, yang tidak nampak walaupun terlindung dek kaca mata gelap masih tidak mampu menyembunyikan rasa sebak bercampur gembira kerana beliau sekeluarga mampu menyambut Hari Raya Aidilfitri kali ini di rumah baru, hasil bantuan asnaf Zakat Pulau Pinang (ZPP).

Rumah pondok seringkali ditenggelami air Sungai Pinang, paling teruk empat kali banjir dalam bulan Ramadan tahun 2008 termasuk pada malam raya Aidilfitri.

Malah, katanya, mereka sekeluarga pernah terkejut menyaksikan ular sawa besar sedang gelojoh menelan seekor kucing di dalam rumah pondok tersebut pada satu musim bencana tahun sama.

Semua itu tidak pernah mematahkan semangat Abdul Halim.

Dengan bantuan isteri, Siti Khatijah Sulaiman, 45, Abdul Halim berniaga kecil-kecilan di Tapak Jaja Ropewalk Lorong Kulit, tidak jauh dari Stadium Bandaraya, dalam Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Datuk Keramat.

Abdul Halim memberitahu, pendapatan bulanan keluarga tak menentu dan tak pernah melebihi RM400.

Mujur ZPP saban bulan menyumbang bantuan berupa beras, gula dan barang-barang keperluan asasi lain.

Katanya, duit poket dan sumbangan ZPP cukup untuk mereka bersama-sama anak, Siti Nur Fatiah, 17, yang merupakan orang kurang upaya (OKU), serta pasangan kembar, Nur Ain Ariani dan Nur Ain Izati, 3, hidup secara sederhana.

Ibu, Rahimah Bee Ahmad, 80, yang mengidap beberapa sakit kronik yang tinggal di sebelah rumah turut memberi sokongan kepada Abdul Halim.

“Alhamdulillah, sumbangan banyak pihak dan (sumbangan) bulanan zakat cukuplah untuk persiapan raya, tentulah seronok raya kali ini,” jelasnya selepas Majlis Penyerahan Rumah Bantuan Asnaf di sini baru-baru ini.

Majlis rasmi itu dilangsungkan serentak dengan program penerimaan zakat perniagaan daripada syarikat telekomunikasi, Celcom Axiata bagi tahun 2013 berjumlah RM360,000 diserahkan oleh Pengurus Pemasaran Wilayah Utara, Farid Khan Mohd. Ali.

Sebelum ini, rumah pondok Abdul Halim yang seringkali ditimpa bencana mendapat perhatian banyak pihak termasuk Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat, Jagdeep Singh Deo dan Datuk Mohd. Salleh Man (Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, MAINPP).

“Setiap kali saya datang, Abang Halim kata ‘tak apa’ dan boleh bersih selepas bencana banjir ini surut. Saya sangat kagum dengan keluarganya.

“Apabila mereka diminta pindah dari tanah rizab sungai JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) ini, kita berusaha menempatkan mereka di tanah milik Kerajaan Negeri di sini juga dengan bantuan pemimpin setempat dan Datuk Mohd. Salleh sendiri,” jelas Jagdeep.

Pemimpin komuniti setempat, Naser Ismail, 53, yang dari mula menguruskan permohonan Abdul Halim ketika ditemui kemudian berkata, beberapa bulan sahaja proses permohonan rumah bantuan asnaf tersebut dibuat untuk diluluskan ZPP.

“Sebenarnya tak susah untuk memohon dan cepatkan proses dapat rumah bantuan asnaf ini, dengan syarat mendapat kebenaran tuan tanah atau calon penerima itu sendiri.

“Permohonan Abdul Halim ini lebih cepat kerana tanah ini Kerajaan Negeri, Tuan Jagdeep dan Datuk Mohd. Salleh sendiri mahu projek ini cepat siap,” ujar Naser.