Gembira terima insentif RM300

BUTTERWORTH – Seramai 2,298 pemandu teksi, teksi lapangan terbang dan kereta sewa yang menerima sumbangan insentif berjumlah RM300 untuk kali kedua daripada Kerajaan Negeri tetap melahirkan rasa gembira walaupun rancangan meluluskan permit teksi langsung yang dikemuka Pakatan Rakyat jika mengambil alih Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lepas tidak kesampaian.

Pengerusi Gabungan Persatuan Pemandu Teksi dan Pemandu Kereta Sewa Kawasaan Pulau Pinang, Abd. Malek Darus berkata, Kerajaan Negeri diharap meneruskan program insentif tersebut demi manfaat semua anggota persatuan gabungannya.

“Y.A.B. Ketua Menteri (Tuan Lim Guan Eng) pun pernah berkata, andai kata tiada sumbangan yang baik untuk Kerajaan Negeri, insentif seumpama ini pun akan ditamatkan.

“Kita (anggota persatuan gabungan) berharap insentif seumpama ini diteruskan. Kalau boleh ditambahkan dengan syarat kita pun memberikan
perkhidmatan paling baik untuk Pulau Pinang,” ujar Abdul Malik semasa menyampaikan ucapan alualuan pada Majlis Pemberian Insentif Kepada Pemandu Teksi, Teksi Lapangan Terbang dan Kereta Sewa Bahagian Seberang Perai di Dewan Datuk Haji Ahmad Badawi di sini baru-baru ini.