MPSP harap capai tahap kebersihan Yokohama – YDP

O l e h : AHMAD ADIL MUHAMAD

BUKIT MERTAJAM – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) meneruskan program Anugerah Sekolah Hijau setelah enam tahun dianjurkan dengan mensasarkan penyertaan lebih daripada 100 buah sekolah di Seberang Perai.

Yang di-Pertua MPSP, Maimunah Mohd. Sharif dalam Majlis Perasmian Anugerah Sekolah Hijau 2014 di Sekolah Menengah Sains
Tun Syed Sheh Shahabudin (SMSTSSS) berkata, program tersebut mula dijalankan dengan tujuan untuk memberikan pendekatan secara holistik bagi pengurusan alam sekitar kepada generasi muda.

“Sekolah merupakan tempat paling sesuai bagi membentuk generasi masa hadapan yang mementingkan kebersihan dan pemeliharaan alam sekitar.

“Generasi akan datang perlu dibentuk keperibadian dan persepsi mereka terhadap alam sekitar kerana ianya lebih mudah berbanding golongan dewasa,” ujarnya pada majlis berkenaan di sini baru-baru ini.

Turut sama hadir, Setiausaha Perbandaran MPSP, Sr. Rozali Mohamud, Tan Cheong Heng (Ahli Majlis bagi MPSP) dan Jamaluddin Yaakop (Pengetua SMSTSSS).

Tambah Maimunah, program seumpama itu telah dijalankan lebih kurang 30 hingga 40 tahun dahulu oleh bandar Yokohama, Jepun.

“Semasa pertemuan dengan Datuk Bandar Yokohama baru-baru ini, beliau telah memuji inisiatif sekolah hijau ini dan memberitahu bahawa MPSP berada di landasan yang betul dalam mendidik generasi akan datang.

“MPSP cuba mengimplimentasikan apa yang telah lama dijalankan di sana dan berharap dalam jangka masa 10 hingga 20 tahun akan datang, Seberang Perai dapat mencapai tahap kebersihan seperti di Yokohama,” ujar beliau.

Tahun lepas, SMSTSSS dan Sekolah Kebangsaan To’ Kandu masing-masing muncul Johan bagi kategori sekolah menengah dan sekolah rendah untuk peringkat negeri Pulau Pinang.

Malah, bagi penganjuran kali ini sebagaimana lima tahun sebelum ini, syarikat Continental Automotive Components Malaysia Sdn. Bhd. (Continental) akan terus menaja hadiah wang tunai dan piala bejumlah RM25,000 kepada pemenang utama.