Generasi muda aset terpenting, harap kembali berbakti kepada negeri

Admin

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Seramai 26 pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) tahun 2015 diraikan pada Majlis Anugerah Cemerlang STPM 2015 di sini baru-baru ini.

Diraikan bersama, tiga pelajar ‘istimewa’ yang turut menerima sijil pengiktirafan, trofi dan saguhati masing-masing berupa wang tunai RM800 yang disempurnakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Dalam ucaptama, Guan Eng berkata, pengiktirafan yang diberikan adalah sebagai pemangkin kepada para pelajar berkaitan untuk terus mencapai kecemerlangan dan juga sebagai menghargai hasil titik peluh masing-masing ketika di bangku sekolah.

Beliau memberitahu, tahun ini, Kerajaan Negeri berbesar hati untuk memberi tambahan insentif sebanyak RM200 (berbanding sebelum ini RM600) bagi setiap pelajar cemerlang sebagai galakan kepada caloncalon lain yang bakal menduduki peperiksaan sama hujung tahun ini.

“Kerajaan Negeri sedar bahawa generasi muda kini adalah aset terpenting masa depan negara, justeru, semua pihak disarankan untuk menggembleng usaha dan tenaga bagi mempersiapkan mereka (generasi muda) dengan ilmu pengetahuan serta kemahiran bagi meneruskan kesinambungan kemajuan yang dikecapi Pulau Pinang kini.

“(Dan) pastinya, kita (Kerajaan Negeri) mengharapkan anda semua kembali ke Pulau Pinang dan mencurah bakti memandangkan negeri ini merupakan tempat terbaik memulakan kerjaya serta fasa baru dalam kehidupan anda,” ujarnya pada majlis berkaitan.

Turut berucap, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy yang juga Exco Perancangan Ekonomi Negeri, Pendidikan, Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai dan ADUN Batu Uban, Dr. T. Jayabalan hadir sama dalam majlis berkaitan.

Pelajar-pelajar berkaitan merupakan sebahagian daripada 2,532 pelajar yang menduduki peperiksaan STPM di Pulau Pinang tahun lalu.

Dalam pada itu, rata-rata penerima yang ditemui melahirkan rasa syukur dan gembira dengan penghargaan oleh Kerajaan Negeri.

Bagi Nor Hafiza Halim, 20, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Bukit Mertajam yang menerima dua anugerah iaitu Pelajar Cemerlang dan Pelajar Terbaik Melayu tidak menyangka akan memperoleh PNGK 4.0 dalam STPM tahun lalu.

“Tiada ‘resipi’ istimewa, cuma perlu kerap berbincang dengan rakanrakan dan guru-guru di samping mengamalkan konsep pembelajaran secara bijak,” katanya yang berhasrat menyambung pelajaran dalam bidang psikologi di salah sebuah universiti tempatan kepada Buletin Mutiara sejurus majlis berkenaan di sini. Hafiza yang merupakan anak sulung daripada tujuh beradik hadir bersama ibu, Norsharmila Md. Ali, 39, dan bapanya, Halim Hamid, 55.

“Saya cuma berharap kejayaan saya hari ini dapat menjadi contoh kepada adik-adik, walaupun serba kekurangan, berbekalkan semangat untuk berjaya, inshaAllah pasti berjaya,” katanya yang merupakan pelajar Melayu tunggal menduduki peperiksaan STPM di sekolahnya.

Kegembiraan sama turut dikongsi oleh dua adik-beradik yang cacat penglihatan sejak dilahirkan, Felicia Pui Jia Yin, 21, dan Andrea Pui Jia Hui, 20, apabila dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik Khas bagi Kategori Orang Kurang Upaya (OKU).

Sebagai rekod, kedua-dua mereka juga merupakan pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2014 dengan masing-masing keputusan 7A+ dan 8A+.

Bagi R. Vesallinni dan K. Naviinia masing-masing berusia 20 tahun dari SMK Dato’ Onn Butterworth, mereka akan kembali ke Pulau Pinang untuk berkhidmat setelah tamat pengajian kelak.

Nada sama turut dikongsi R. Shaaleni, 20, dari SMK Penang Free yang bercita-cita menjadi peguam suatu hari nanti.

Turut berkongsi pengalaman, penerima Anugerah Pelajar Terbaik Cina, Tan Hock Kun, 21, dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Jit Sin Bukit Mertajam menyatakan bahawa beliau membuat pilihan tepat apabila mengambil keputusan untuk berhenti pengajian di kolej swasta selepas SPM untuk menduduki STPM.

Sehubungan itu, tiga sekolah diumumkan sebagai Sekolah Terbaik STPM 2015 iaitu SMJK Chung Hwa Confusion George Town, SMJK Perempuan Cina dan SMJK Jit Sin Bukit Mertajam.