Glo-Walk kembali warnai malam Pulau Pinang, sasar 5,000 peserta

Admin
whatsapp image 2026 06 15 at 12.30.53 pm (1)

GEORGE TOWN – Program berjalan santai komuniti terbesar anjuran Tech Dome Penang, Glo-Walk 11.0, kembali tahun ini dengan sasaran penyertaan seramai 5,000 peserta.

 

Acara yang dijadual berlangsung pada 8 Ogos 2026 di The Light Waterfront Penang itu turut menyasarkan kutipan dana sebanyak RM200,000 bagi menyokong inisiatif pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di negeri ini.

 

Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo berkata, Glo-Walk bukan sekadar acara riadah, sebaliknya telah berkembang menjadi platform penting yang menghubungkan masyarakat dengan dunia sains, teknologi dan inovasi.

 

 “Saya mengucapkan tahniah kepada Tech Dome Penang kerana berjaya menjadikan Glo-Walk sebagai antara acara komuniti yang dinanti-nantikan setiap tahun di Pulau Pinang.

 

“Program ini bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah membantu memupuk minat generasi muda terhadap bidang STEM yang amat penting untuk masa depan negeri dan negara,” ujarnya pada sidang media di Komtar sebentar tadi.

lis 4897
JAGDEEP Singh Deo.

 

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; Pengurus Besar Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP), Dato’ Cheok Lay Leng dan Ketua Pegawai Eksekutif Tech Dome Penang, Ts. Khoo Boo Wooi.

 

Turut serta, wakil daripada Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) yang menjadi antara agensi utama menyokong penganjuran program berkenaan.

 

Dalam sidang media sama, Jagdeep turut merakamkan penghargaan kepada semua penaja dan rakan strategik yang menjayakan acara tersebut termasuk IJM Land selaku penaja lokasi, selain syarikat-syarikat industri seperti Globetronics, Flex, Jabil, A2 Automation, Plexus, GSH Precision, Pentamaster, VAT, NSW Automation, Edu Wisdom dan Kiwanis Penang Central.

 

Beliau turut memuji komitmen berterusan Tech Dome Penang dan rakan strategiknya dalam memperkasa pendidikan STEM serta memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.

 

Usaha sedemikian selari dengan aspirasi Penang2030 untuk melahirkan masyarakat yang berdaya tahan, berpengetahuan dan bersedia menghadapi cabaran ekonomi berasaskan teknologi.

 

“Pulau Pinang merupakan hab teknologi dan perindustrian yang memerlukan bakat berkualiti tinggi.

 

“Justeru, pelaburan dalam pendidikan STEM perlu diperkukuhkan melalui penglibatan komuniti, sektor swasta dan institusi pendidikan.

 

Glo-Walk membuktikan bahawa pembelajaran dan kesedaran STEM boleh dipupuk melalui pendekatan yang menyeronokkan serta inklusif,” katanya.

 

Difahamkan, peserta akan menikmati laluan berjalan santai sejauh tiga kilometer di kawasan persisiran pantai The Light Waterfront Penang, selain pelbagai aktiviti mesra keluarga yang bermula seawal jam 5 petang.

 

Memasuki edisi ke-11 penganjuran, Glo-Walk telah menjadi salah satu acara komuniti ikonik Pulau Pinang yang menghimpunkan keluarga, pelajar, kakitangan korporat dan orang awam bagi menyokong usaha pembangunan pendidikan STEM.

 

Antara tarikan utama Glo-Walk 11.0 adalah stesen permainan interaktif, sesi pemanasan badan ‘kickboxing’, aktiviti mewarna, jualan makanan dan minuman, reruai pameran, persembahan pentas dan cabutan bertuah.

 

Orang ramai yang berminat boleh mendaftar melalui http://howei.com/event_details/glowalk2026 dengan yuran penyertaan sebanyak RM60 seorang sebelum 30 Jun 2026. Maklumat lanjut, sila hubungi Tech Dome Penang di talian 011-5685 395 atau 04-376 4825 atau emel di [email protected] .

glo walk

Gambar: ALISSALA THIAN