Golongan B40 terpilih DUN Seri Delima terima bakul makanan, baucar dan Thinker Box

SERI DELIMA – Sungguhpun sesi persekolahan tidak berjalan seperti diinginkan, namun Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh tidak mahu melihat para pelajar berhenti daripada menuntut ilmu.

 

Untuk itu, Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Delima bersama Penang Science Cluster (PSC) melakukan inisitif penyampaian Thinker Box bagi subjek sains dan matematik.

 

Menurut Ramkarpal, penutupan sekolah sebelum ini akibat pandemik COVID-19 sememangnya beri kesan kepada pembelajaran murid-murid sekolah.

 

“Jadi, di Seri Delima kita ambil inisiatif sampaikan Thinker Box dengan kerjasama PSC kepada 20 orang pelajar sekolah terpilih,” ujar beliau ketika berucap menyampaikan Thinker Box di dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Taman Tun Sardon tengah hari semalam.

Manakala bagi sebelah pagi pula, Ramkarpal turut menyampaikan Program Bantuan Bakul Makanan melalui pertubuhan One Hope Charity dan Welfare di Pejabat Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Green Lane Heights, Jalan Gangsa.

 

Bantuan bernilai RM30,000 itu disampaikan kepada 100 wakil keluarga isi rumah B40 terpilih bersama baucar RM50 yang terkesan dek pandemik COVID-19.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD