200 peniaga kecil sekitar Pulau Betong terima bantuan Kerajaan Negeri

Admin

PULAU BETONG – Seramai 200 orang yang terdiri daripada penjaja pasar malam, peniaga kecil serta kakitangan taman asuhan kanak-kanak (taska) dan taman didikan kanak-kanak (tadika) menerima sumbangan baucar bernilai RM100.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail memberitahu bahawa daripada jumlah itu, seramai 88 penerima adalah penjaja pasar malam hari Ahad, peniaga kecil (88) dan kakitangan taska serta tadika (24).

“Bantuan kecil ini disampaikan melalui peruntukan Kerajaan Negeri bagi membantu menampung keperluan golongan peniaga kecil yang terjejas akibat penularan pandemik COVID-19.

“Ini juga sebagai tanda keprihatinan kepimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang terhadap kesusahan dihadapi oleh kebanyakan rakyat terutamanya pada masa getir ini,” katanya semasa merasmikan Program Bantuan Peniaga Kecil dekat dataran Muafakat Pasar Awam Balik Pulau, di sini semalam.

Mohd. Tuan Ismail dan Abdul Halim Hussain menyerahkan sumbangan kepada salah seorang penerima yang layak.

Program tersebut merupakan anjuran Pejabat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Pulau Betong dengan kerjasama Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Perdagangan, Industri dan Pembangunan Keusahawanan.

Turut hadir Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Keusahawanan yang juga ADUN Batu Maung, Dato’ Abdul Halim Hussain; Pengerusi Persatuan Pasar Malam Pulau Pinang, Abdul Razak Mansor serta wakil Pejabat Ahli Parlimen Balik Pulau.

Dalam pada itu, Abdul Halim berkata bahawa peniaga kecil atau mikro menjadi antara golongan yang paling terkesan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac tahun lalu.

“Peniaga kecil kebanyakannya tidak mempunyai simpanan dan mereka hanya bergantung kepada pendapatan secara harian menyebabkan golongan ini sangat terkesan akibat penularan pandemik COVID-19.

“Oleh itu, adalah amat penting untuk persatuan-persatuan peniaga mengenal pasti dan memberikan sokongan serta bantuan kepada golongan ini,” ujarnya.

Abdul Halim berkata, Kerajaan Negeri juga bakal melancarkan program baru untuk menjadikan bidang keusahawanan sebagai satu budaya dalam kalangan masyarakat di negeri ini.

“Maknanya, kita sudah tidak boleh mengharapkan kerja makan gaji kerana berdasarkan statistik yang dibentangkan di Parlimen baru-baru ini menunjukkan lebih 1 juta penduduk di negara ini masih belum mendapatkan pekerjaan.

“Jumlah ini tidak termasuk graduan lepasan universiti kira-kira 300,000 orang yang akan memohon untuk mendapatkan pekerjaan.

“Oleh itu, kita mahu didik rakyat untuk berdikari dengan menceburkan diri dalam bidang keusahawanan,” jelasnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : CHAN KOK KUAN