Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN
GEORGE TOWN – Pulau Pinang merekodkan jumlah pelaburan sebanyak RM4.33 bilion bagi separuh tahun pertama 2015 dengan unjuran pertumbuhan dijangka mencecah 6.2 peratus tahun ini.
Perkara itu dinyatakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng pada Majlis Jamuan Makan Tengah Hari dan Dialog bersama Dewan Perdagangan dan Industri Antarabangsa Malaysia atau Malaysia International Chamber of Commerce and Industry (MICCI) di sini baru-baru ini.
Jelas beliau, 2015 merupakan tahun ketidaktentuan ekonomi negara terutama selepas pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada 1 April lalu yang memberi kesan terhadap sektor peruncitan dengan memperlihatkan penurunan perniagaan antara 20 hingga 25 peratus.
“Selain itu, skandal RM42 bilion 1MDB (1Malaysia Development Berhad) yang telah menyebabkan hilangnya keyakinan para pelabur memberi kesan negatif terhadap ekonomi negara.
“Lebih memburukkan keadaan, penyusutan ketara 30 peratus nilai ringgit (Ringgit Malaysia, RM) berbanding dolar Amerika Syarikat (USD) memberi kesan besar ke atas ekonomi negara.
“Pulau Pinang juga tidak terkecuali, kerana kita (Pulau Pinang) sepatutnya beralih ke ekonomi berpendapatan tinggi tahun ini, tetapi disebabkan krisis ini, ia dilambatkan sekurangkurangnya lima tahun lagi iaitu sekitar tahun 2020 untuk mencapai RM52,000 per kapita bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” ucapnya di hadapan kira-kira 200 penggiat industri utama negara di sini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, barisan Exco Kerajaan Negeri, Presiden MICCI, Datuk Wira Jalilah Baba dan Pengerusi MICCI Cawangan Pulau Pinang, Brian Tan Guan Hooi.
Guan Eng memberitahu, jumlah pendapatan dicatat Pulau Pinang dalam KDNK pada 2014 adalah sebanyak RM40,841 per kapita dengan jangkaan tahun ini berjumlah RM42,251 per kapita. “Inilah kerugian yang dirasai secara amnya oleh semua, termasuk rakyat Pulau Pinang,” ujarnya.
Dalam pada itu, Jalilah ketika berucap menggesa syarikat-syarikat tempatan untuk menjalankan perniagaan masing-masing dalam mata wang negara di mana produk mereka dihasilkan, memandangkan penyusutan nilai ringgit yang amat ketara.
“Sebagai contoh, di peringkat kerajaan kini, telah mula mengambil pendekatan tersebut ketika berurusan dengan negara China menggunakan mata wang Yuan tanpa perlu menukar kepada USD.
“Ini adalah pendekatan yang akan diambil oleh ahli-ahli MICCI dan saya berharap semua syarikatsyarikat di Malaysia melakukan perkara yang sama,” seru beliau.
Tambah Jalilah, bagi Bajet 2016, MICCI telah mencadangkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk memansuhkan tempoh 15 tahun insentif cukai syarikat-syarikat di Malaysia bagi membolehkan pihak terbabit ‘berkembang’.
“Insentif ini, seperti taraf perintis, elaun cukai pelaburan akan tamat selepas 15 tahun seseorang peniaga memulakan perniagaan dan ia mampu menjana aktiviti ekonomi yang positif dalam jangka masa yang panjang dan mampu memberi manfaat kepada syarikatsyarikat tempatan dalam rantaian bekalan (supply chain),” jelasnya.
Majlis Jamuan Makan Tengah Hari dan Dialog dianjurkan MICCI tersebut merupakan acara tahunan sejak 2013.
if (document.currentScript) {