Kesal sikap Kementerian elak skandal Tanjung City Marina & kerja pemulihannya – KM

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri kesal dengan sikap tidak profesional pihak Kementerian Pengangkutan yang cuba mengelak daripada bertanggungjawab ke atas skandal RM43 juta Tanjung City Marina dan kerja pemulihannya dengan menyalahkan pihak berkaitan (Kerajaan Negeri).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, alasannya adalah masalah hak milik tanah dengan Kerajaan Negeri belum diselesaikan sungguhpun tapak Tanjung City Marina dimiliki sepenuhnya oleh Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dan bukannya Kerajaan Negeri.

Tanjung City Marina telah tenggelam sepenuhnya di laut pada 2012 bersama-sama dengan perbelanjaan RM43 juta juga hilang kerana perancangan yang cacat dan ketidaksediaan untuk membina “wave breaker” seperti dicadangkan.

“Pihak SPPP dan Kementerian Pengangkutan telah berjanji untuk memulih dan membina semula Tanjung City Marina, tetapi sehingga hari ini, semuanya tinggal janji kosong.

“Kerajaan Negeri agak terkejut bahawa isu hak milik tanah Swettenham Pier Cruise Terminal kini digunakan sebagai alasan sungguhpun ia tidak menjadi masalah apabila Tanjung City Marina dibina buat kali pertama pada 2005,” katanya dalam kenyataannya di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Guan Eng memberitahu, Kerajaan Negeri enggan menjual tanah di Swettenham Pier Cruise Terminal kepada SPPP kerana tidak berpuas hati dengan pengurusannya dan ingin memegang hak milik tanah untuk tapak itu.

SPPP telah mencabar keengganan Kerajaan Negeri memindah milik tanah di Mahkamah Tinggi, tetapi telah kalah dan tidak meneruskan sebarang rayuan.

“Lagipun tapak Tanjung City Marina adalah milikan penuh SPPP yang tidak pernah dipertikaikan oleh Kerajaan Negeri. Kerajaan Negeri tidak akan memberikan sebarang halangan kepada sebarang kerja pemulihan atau pembinaan semula.

“Sekiranya pihak Kementerian hendak mencari alasan baru tidak membina semula Tanjung City Marina, iaitu satu pembangunan bersepadu menyeluruh mesti dibuat terlebih dahulu merangkumi Tanjung City Marina, soalan ialah mengapa tender terbuka yang dipanggil oleh bekas Pengerusi SPPP, Tan Sri Dr. Chua Soi Lek mengenai rancangan serupa ini tidak disempurnakan.

“Jelas sekali, SPPP “pukul mulut sendiri” dan cuba menegakkan benang yang basah dengan menyalahkan Kerajaan Negeri dalam isu hak milik tanah di Swettenham Pier Cruise Terminal sebagai alasan mengapa Tanjung City Marina tidak dibina semula,” ujar yang juga Ahli Parlimen Bagan.

}