GTF kembali, mulai 4 Ogos hingga 2 September

GEORGE TOWN – Masuk tahun kesembilan, Festival George Town (GTF) 2018 kembali lagi dengan lebih banyak acara berprestij di negeri ini mulai 4 Ogos hingga 2 September ini.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berharap acara tahunan itu mampu melonjakkan lagi keunggulan Pulau Pinang sebagai bandar raya pintar serta tempat penjanaan inspirasi kebudayaan setempat dan serantau.

“Seni, kebudayaan dan warisan memainkan peranan besar untuk sebuah bandar yang beraspirasi untuk menjadi satu bandar raya (bertaraf) antarabangsa dan pintar.

“Dengan adanya satu pusat untuk seni dan kebudayaan telah dikenal pasti sebagai faktor kejayaan yang kritikal, bukan sahaja untuk membina sebuah bandar raya bertaraf global, malah juga usaha penjanaan kegiatan ekonomi secara kreatif, inovatif serta produktif.

“Oleh itu, George Town berikhtiar meneruskan perjalanan untuk menjadi pusat kesenian, kebudayaan dan warisan yang cemerlang di tanah air Malaysia.

“George Town akan menjadi bandar raya berfestival untuk semua, yang mana budaya dan seni boleh dinikmati oleh semua lapisan rakyat,” katanya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam pada sidang media di sini baru-baru ini.

Selain Joe Sidek, hampir semua Exco Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang sertai sidang media promosi GTF 2018 itu.

Guan Eng memberitahu, Kerajaan Negeri berterima kasih kepada kurator dan pengarah festival, Joe Sidek kerana dalam tempoh lapan tahun ini dilihat berjaya mengangkat sebuah festival tempatan sehingga dikenali di rantau ini, sekarang.

“Encik Joe Sidek merupakan orang utama daripada segi kreativiti, yang telah mengembangkan festival ini semenjak lapan tahun lalu, dan kami (Kerajaan Negeri dan rakyat Pulau Pinang amatlah berbangga GTF sebagai acara keluaran orang tempatan,” ujarnya.

Bercakap pada sidang media sama, Joe Sidek menyatakan bahawa tiap-tiap tahun, GTF menggalakkan semua pihak berkepentingan supaya menghantar kertas cadangan melalui internet atau ‘calls for proposals’.

Menurutnya, proses penghantaran proposal cadangan bagi GTF 2018 dibuka oleh pihak pengurusan festival sehingga akhir bulan Oktober tahun lepas.

“Sehingga kini, hampir 200 kertas cadangan telahpun diterima dari dalam dan luar negara, dan kami percaya lebih banyak lagi kertas cadangan dihantar masuk sepanjang minggu terakhir bulan Januari (lepas),” jelasnya.

Joe Sidek sekali lagi menjelaskan bahawa tujuan penganjuran GTF adalah untuk membawa seni kepada orang awam, dengan mengekalkan satu taraf yang tinggi untuk acara-acara percuma.

“Untuk acara-acara bertiket, harga tiket yang ditetapkan adalah rendah, ertinya hasil jualan tiket hanya dapat membiayai sebahagian yang amatlah kecil terhadap perbelanjaan festival,” katanya.

Layari georgetownfestival.com untuk mendapatkan maklumat lanjut atau tempahan tiket.