Insentif pemandu teksi & operator bas, tanda kepedulian dan penghargaan Kerajaan Negeri

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

PANTAI JEREJAK – Kerajaan Persekutuan disaran supaya memberi insentif kepada pemandu teksi sebagai tanda penghargaan kepada golongan berkaitan yang turut memacu pembangunan sektor pelancongan negara.

Saranan tersebut disuarakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika berucap pada Majlis Pemberian Insentif Perkhidmatan Kepada Pemandu Teksi dan Operator Bas Sekolah Pulau Pinang di sini 29 Januari lalu.

Guan Eng berkata, pemberian insentif khas tahunan sebanyak RM600 tersebut adalah sebagai tanda kepedulian dan penghargaan Kerajaan Negeri kepada golongan berkaitan yang wajar dicontohi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan Negeri lain.

“Ini adalah sebahagian penghargaan daripada pihak Kerajaan Negeri kepada semua pemandu teksi dan operator bas sekolah kerana memberikan perkhidmatan baik.

“Kita (Kerajaan Negeri) tahu hargai pemandu teksi dan operator bas sekolah bukan hanya dengan ucapan terima kasih sahaja, tetapi dengan pemberian (insentif) wang.

“Pemandu-pemandu teksi seluruh Malaysia tahu bahawa Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang sahaja yang memberikan insentif ini…langkah ini wajar diikuti mereka (Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri lain).

“Tanpa pemandu teksi, sektor pelancongan takkan membangun, kita kena pandai kenang jasa pemandu teksi dan pengusaha bas sekolah,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih merangkap Ahli Parlimen Bagan pada majlis berkaitan.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon; Chow Kon Yeow (Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan  Lalulintas dan Tebatan Banjir); Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti) dan Law Heng Kiang (Exco  Pembangunan Pelancongan).

Pada majlis keraian tersebut, kira-kira 1,702 pemandu teksi dan operator bas sekolah (330) bahagian pulau menerima pemberian insentif pertama berjumlah RM300.

Jumlah keseluruhan pemberian insentif pada kali ini adalah sebanyak RM899,700.

Justeru, dalam nada seloroh, Guan Eng menyatakan bahawa bagi pemandu-pemandu teksi di negeri-negeri jiran yang ingin menikmati insentif yang sama hanya perlu ubah ‘Kerajaan’.

“Untuk menikmati insentif ini, sampai ada pemandu teksi di negeri-negeri jiran sanggup mengubah daftar undi… tidak perlu bersusah-payah begitu, apa yang perlu hanya ubah Kerajaan sudah.

“Kalau ubah Kerajaan, kita percaya akan mencontohi apa yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang kini.

“Termasuk juga dengan pemansuhan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta menstabilkan kembali harga minyak dan petrol,” jelasnya.