Guan Eng desak tubuh RCI siasat RM4 bilion Proton hilang

Admin

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

BUKIT BENDERA – Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng mendesak penubuhan suatu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kehilangan RM4 bilion dana Proton yang menurut dakwaan Tun Dr. Mahathir Mohamad berpunca daripada pengurusan yang lemah dalam syarikat pembuat kereta negara itu sendiri.

Beliau mencadangkan bekas Ketua Pengarah Eksekutif (CEO), Tan Sri Mahaleel Ariff sendiri sebagai salah seorang ahli panel RCI bagi menyelamatkan kepentingan rakyat dalam syarikat tersebut.

“Satu RCI perlu dibentuk untuk menyiasat salah urus Proton dan kerugian berbilion ringgit yang dialami sepanjang waktu ini, terutamanya kerugian berjumlah RM3.4 bilion dalam bentuk simpanan tunai.

“Siasatan haruslah menentukan sama ada kerajaan boleh mengurangkan kerugian dengan menggulung syarikat Proton secepat mungkin, atau mengambil risiko kerugian lebih besar seperti yang terjadi dalam perjanjian MV Augusta.

“Ini adalah satu perkara serius, memandangkan Proton adalah pembuat kereta nasional,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini baru-baru ini.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Puteh berkata, siasatan RCI wajar melihat bersama pada proses penjualan 42.7 peratus saham Proton kepada DRB-Hicom Berhad dengan sebutan harga RM1.3 bilion atau RM5.50 seunit saham sama ada munasabah atau sebaliknya.

“Menjual pegangannya pada harga RM1.3 bilion atau RM5.50 satu saham, iaitu separuh daripada nilai ‘book value’ Proton iaitu RM9.81 satu saham dan juga nilai asal yang dibayarnya iaitu RM8 satu saham.

“Sekali lagi, ini adalah satu contoh pengendalian buruk kerajaan yang mengakibatkan kerugian kepada pembayar cukai,” ujarnya.

Desakan untuk menubuhkan RCI tersebut adalah susulan daripada CEO Proton Holding, Datuk Mohammed Azlan Hashim didedah mempunyai aset tunai serendah RM600 juta sahaja sebagaimana yang dilaporkan oleh akhbar, The New Straits Times, 7 Februari lepas.

Ketika Mahaleel menjadi CEO Proton Holding, Dr. Mahathir mendedahkan lebih RM4 bilion simpanan tunai berjaya dikumpulkan dalam syarikat pembuat kereta nasional tersebut.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir turut mendedahkan bahawa kerugian tersebut antara lain berpunca daripada penjualan MV Augusta kepada “sebuah syarikat yang tidak dikenali”, iaitu Fevi SpA pada tahun 2006 dengan harga 1 Euro.