Guan Eng, Li Koon lepas dan bebas tuduhan rasuah

GEORGE TOWN – Bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng serta ahli perniagaan, Phang Li Koon pagi ini dilepas dan dibebaskan (DAA) oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, daripada tuduhan rasuah membabitkan kes pembelian rumah bawah bawah harga pasaran, di Jalan Pinhorn.

Hakim Y.A. Datuk Hadhariah Syed Ismail membuat ketetapan itu selepas mendengar penjelasan pihak pendakwaan iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kedua-dua pihak pembelaan.

“Kalau pihak pendakwaan nak minta DNAA (dilepaskan tanpa dibebaskan), saya tidak boleh bersetuju, kerana selepas enam bulan pihak pendakwaan boleh minta kes ini dibuka balik…memang mustahil.

“Setelah saya mengkaji keseluruhan keadaan kes ini dan masa yang begitu lama (kes ini berlangsung), saya memutuskan mengeluarkan perintah bahawa kedua-dua tertuduh (Guan Eng dan Li Koon) dilepaskan dan dibebaskan,” jelasnya di kamar Mahkamah Tinggi Jenayah 2 di sini pada 3 September 2018.

Sebelum itu, Timbalan Pendakwaraya bagi SPRM, Datuk Masri Mohd. Daud memberitahu, pihaknya menarik balik pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh berdasarkan Seksyen 254(3) Kanun Tatacara Jenayah atas faktor Jabatan Peguam Negara telah menerima representasi daripada pihak pembelaan.

Pun begitu, kedua-dua pihak pembelaan membantah sekiranya penarikan dakwaan itu hanya DNAA, dan bukan DAA.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Guan Eng yang kini Menteri Kewangan Malaysia menzahirkan rasa syukur terhadap Tuhan, ahli keluarga, pasukan pembelaan, penyokong-penyokong yang terus memberi sokongan moral sepanjang kes tersebut dibicarakan.

“Berdirikan dengan kebenaran dan kebenaran dapat ditegakkan…kita berjaya bebas daripada fitnah (pertuduhan) ini,” ujarnya yang juga Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Kebangsaan sambil berulang-ulang kali mengucapkan rasa syukur.

Peguam Ramkarpal Singh, juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor yang mewakili Guan Eng turut sertai sidang media tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB