Guan Eng nafi keluar kenyataan ‘melampau’ di Business.fm

Admin

GEORGE TOWNKetua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng mengaku tidak menyebut “ we don’t care” apabila ditanya oleh penemuduga mengenai hal perumahan di negeri berkenaan seperti yang dituduh oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Muhamad Farid Saad.

Malah, kata beliau lagi, juruhebah di The Business Radio Station, business.fm sendiri mengaku bahawa beliau tidak menyebut sedemikian.

“Sebab itu, saya minta Yang Berhormat (Muhamad Farid) menjelaskan bahawa saya sebut ‘we don’t care‘ itu dalam konteks apa…Yang Berhormat (Muhamad Farid) sendiri sebelum ini tidak dapat menjelaskan saya kata itu dalam konteks apa.

“Mungkin saya tak mahu cakap dia (Muhamad Farid) bohong di dewan ini sekarang, tapi mahu dia tunjuk bukti… kerana ini adalah tuduhan oleh beliau yang menurut (juruhebah) Business.fm pun mengatakan saya tidak kata,” ujar beliau di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini.

Lantas itu, Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Azhar Ibrahim mempersoal niat Guan Eng kerana membangkitkan hal tersebut pada kala Muhamad Farid tidak berada di Dewan.

“Sepatutnya Yang Berhormat (Guan Eng) bangkit di sini (sekarang), tetapi dia tak ada di sini (DUN)…sepatutnya Yang Berhormat boleh mengemukakan semasa dia (Muhamad Farid) datang,” tegas beliau.

Beliau yang juga ADUN Penaga berkata, pihaknya akan memastikan Muhamad Farid hadir untuk menjawab penjelasan Guan Eng itu.

Guan Eng kemudiannya berkata bahawa beliau membangkitkan hal tuduhan Muhamad Farid itu berdasarkan peraturan mesyuarat Dewan.

“Peraturan mesyuarat sepatutnya dikemukakan seawal-awal kepada Tuan Speaker. Saya bukan minta dia (Muhamad Farid) jelaskan sekarang. Di sini, saya minta bantuan Speaker supaya dia (Muhamad Farid) buktikan mana buktinya.

“Saya harap Yang Berhormat (Muhamad Farid) dapat tunjukkan kebenaran, bukan sahaja pada saya malah pada Datuk Speaker DUN,” balas Guan Eng.

Sebelum ini, akhbar Bahasa Inggeris, The Star melaporkan bahawa Muhamad Farid menuduh Guan Eng berkata “we don’t care” apabila ditanya mengenai perumahan di negeri ini oleh seorang penemuduga.

“Saya telah mendengar fakta itu. Anda boleh kembali dan mendengar rakaman jika anda suka tetapi saya tidak ingat butiran (apa yang dikatakan),” kata Muhamad Farid ketika membahaskan usul terima kasih kepada ucapan pembukaan Yang Di-Pertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas.

Guan Eng meminta beliau mengemukakan bukti atas tuduhan itu.

“Apabila ini? Dalam apa konteks kenyataan yang didakwa dibuat? Jika anda ingin mengkritik, anda mesti memberikan konteks yang penuh.

“Anda tidak boleh hanya membuat kenyataan umum seperti ini,” balas beliau sambil menyifatkan tuduhan Muhamad Farid itu tidak berpijak atas butiran serta bukti.