Vision Park bakal dinobat taman wilayah utara pertama

Admin

Oleh: ZULIANA AZIZ

BERTAMBagi membolehkan rakyat Pulau Pinang menikmati kehidupan yang lebih berkualiti dan menambah nilai untuk pembangunan indah, Kerajaan Negeri melalui pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bakal mewujudkan sebuah Taman Rekreasi Fasa 1 Vision Park di Seberang Perai Utara (SPU) di sini.

Vision Park merupakan sebuah taman rekreasi yang bakal didirikan di atas tanah seluas 126 ekar yang telah diserahkan oleh Bertam Properties Sdn. Bhd. kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Malah, ia bakal dihijaukan dengan 22 spesies pokok merangkumi 300 jenis pokok serta beberapa kemudahan seperti tempat berjoging, berbasikal, taman permainan dan sebagainya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bertam Properties, Datuk Roslan Ibrahim berkata, Vision Park terbahagi kepada dua komponen utama iaitu kawasan tasik atau kolam tadahan membabitkan kawasan seluas 61 ekar (di bawah selenggara Jabatan Pengairan dan Saliran, JPS) dan kawasan tanah lapang, 65 ekar (di bawah selenggara Majlis  Perbandaran Seberang Perai, MPSP).

“Sebanyak RM 2.8 juta diperuntukkan untuk penyelenggaraan dan pembinaan taman tersebut di mana RM 1.8 juta telah disumbangkan Kerajaan Negeri, manakala, selebihnya oleh pihak Bertam Properties. Buat masa ini, taman tersebut masih dalam peringkat penyelenggaraan sehingga hujung tahun ini,” katanya di sini baru-baru ini.

Roslan berkata demikian ketika mengiringi Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas, Chow Kon Yeow yang mengadakan lawatan khas ke tapak taman rekreasi berkenaan.

Dalam pada itu, Yang DiPertua MPSP, Maimunah Mohd. Sharif berkata, taman berkenaan berpotensi menjadi sebuah taman wilayah merangkumi negeri-negeri di utara tanahair berikutan keluasannya mencecah 126 ekar.

“Taman ini merupakan taman rekreasi terbesar di wilayah utara tanahair dan kami (MPSP) berhasrat untuk menjadikannya sebagai taman wilayah pertama di utara Malaysia.

“Sehingga kini, masih terdapat lebih kurang 15 tapak yang masih kosong dan sesuai dibangunkan sebagai projek CSR di masa akan datang. Secara keseluruhan, kita (MPSP) mempunyai 37 tapak projek CSR,” ujar Maimunah yang turut sama dalam sesi lawatan terbabit.

Tambah beliau, pihak MPSP kini masih belum mempunyai tarikh sesuai untuk membuka taman tersebut kepada orang ramai ekoran masih banyak kerja yang perlu dilakukan dan masih di peringkat permulaan.

ROSLAN Ibrahim (empat dari kanan) menunjukkan lokasi projek Vision Park kepada Chow Kon Yeow (dua dari kanan) dan Maimunah Mohd. Sharif (tiga dari kanan) bersempena lawatan tapak di sini baru-baru ini.
ROSLAN Ibrahim (empat dari kanan) menunjukkan lokasi projek Vision Park kepada Chow Kon
Yeow (dua dari kanan) dan Maimunah Mohd. Sharif (tiga dari kanan) bersempena lawatan tapak di
sini baru-baru ini.