Guna mesin teknologi tinggi lupus Al-Quran lama masih dalam pertimbangan – Mufti

Admin

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

BATU UBAN – Mufti Pulau Pinang, Sohibus Samahah Dato’ Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, pihaknya sedang mempertimbangkan untuk membeli mesin berteknologi tinggi untuk tujuan melupuskan Al-Quran lama di negeri ini.

Beliau berkata demikian pada majlis pelupusan abu naskah Al-Quran lama dekat Jeti Ibu Pejabat Polis Marin Wilayah Utara, Batu Uban di sini baru-baru ini.

“Dianggarkan kos mesin tersebut bernilai RM40,000 dan kita akan kaji terlebih dahulu keberkesanannya sebelum membuat keputusan untuk memiliki mesin tersebut yang lebih mudah dan jimat,” ujarnya kepada pemberita sambil memberitahu bahawa mesin tersebut dihasilkan oleh sebuah universiti awam.

Hadir sama, Yang di-Pertua MajlisAgama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Dato’ Mohd. Salleh Man; Pegawai Daerah Barat Daya, Ederis Mat Din; Komander Pasukan Gerakan Marin Wilayah Utara, Deputi Superitendan (DSP) Rosli Sufian serta kakitangan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Inisiatif tersebut turut memperoleh kerjasama dan bantuan bot Polis Marin Wilayah Utara.

Menurut Wan Salim, kaedah bakar dan lupus di laut yang diamalkan sekarang merupakan kaedah paling selamat dan tanpa ragu-ragu berbanding pelupusan di darat.

“Sebenarnya boleh juga lupus di darat, tetapi kita lebih berhati-hati dan ingin menjaga kehormatan kitab suci Al-Quran, takut-takut jika ada yang melangkah atau mengotori tempat yang ditanam,” jelasnya.

Dalam pada itu, bercakap pada sidang media sama, Mohd. Salleh memberitahu, pusat pengumpulan naskah Al-Quran lama bagi negeri Pulau Pinang ditubuhkan pada 2015 di Masjid Daerah Seberang Perai Selatan (SPS).

“Ini merupakan pelupusan kali kedua yang kita laksanakan selepas penubuhannya, kali pertama kita sudah lupuskan pada pertengahan tahun 2016,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Permatang Pasir.

Difahamkan, sebanyak lima tan abu naskah Al-Quran lama dilupuskan dekat 12 batu nautika dari jeti tersebut (perairan Pulau Kendi) di bawah kelolaan Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang.