Tanah 36 keluarga Kampung Nenas dapat status pegangan kekal

Admin

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

BUKIT TENGAH – Selepas 37 tahun menanti, akhirnya 36 keluarga pelbagai kaum yang menduduki tanah pajakan di Kampung Nenas di sini mendapat status pegangan kekal daripada Kerajaan Negeri hari ini.

Ketika mengumumkan perkara tersebut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang hari ini berjaya menyelesaikan masalah malar segar tersebut tidak sampai 37 bulan, demi penduduk yang terdiri oleh pelbagai kaum.

“Pemberian melibatkan 80 lot, kira-kira 4 ekar, dibeli oleh penduduk 37 tahun lalu, sekurang-kurangnya hari ini boleh diselesaikan dan diwarisi oleh anak mereka,” jelasnya pada majlis penghargaan khas anjuran Persatuan Penduduk Kampung Nenas sendiri baru-baru ini.

Turut berucap, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai serta Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani.

Hadir sama, ADUN Jawi, Soon Lip Chee.

Dalam pada itu, Kasthuriraani memberitahu bahawa 36 penduduk Kampung Nenas mendapat pegangan kekal atas lot tanah masing-masing kerana Kerajaan Negeri hari ini menurut Perlembagaan mempunyai kuasa atas tanah di Pulau Pinang.

“Baru-baru ini, seorang Menteri menyatakan hasrat untuk menjadikan seluruh negeri Pulau Pinang sebagai Wilayah Persekutuan yang baharu.

“Jika Pulau Pinang bukan lagi sebagai negeri di bawah Persekutuan, ini bermakna semua rakyat tidak mempunyai kuasa untuk memiliki pemimpin yang patut menubuhkan Kerajaan Negeri, dan kuasa atas tanah juga tidak lagi wujud sebagaimana yang Kerajaan Negeri hari ini boleh putuskan untuk penduduk Kampung Nenas,” jelasnya sambil menyeru supaya seluruh rakyat terus memberi mandat kepada Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

Difahamkan, penduduk-penduduk berkenaan lebih 30 tahun lalu membeli tanah lot 3470 seluas 167.23 meter persegi hingga 282.89 meter persegi daripada tuan tanah persendirian.

Pun begitu, segelintir penduduk menggunakan tanah berstatus pertanian untuk tujuan komersial, hingga dirampas oleh Kerajaan Negeri ketika itu.

Pada 24 Februari 2014, mereka memohon pemilikan semula tanah tersebut dan diluluskan oleh Kerajaan Negeri hari ini pada 12 Mac tahun sama dengan kenaan 100 peratus atas premium tanah.

Penduduk pada 7 April 2014 sekali lagi memohon Kerajaan Negeri supaya mengurangkan premium tanah.

Kerajaan Negeri pada 23 Oktober tahun sama meluluskan bayaran hanya 10 peratus daripada kadar premium asal untuk tempoh pemberi milikan 60 tahun atau 90 tahun.

Selepas itu, Kerajaan Negeri menukar status tanah daripada pegangan pajakan (leasehold) kepada pegangan kekal (freehold), selepas sekali lagi menerima rayuan daripada penduduk kampung berkenaan.

Penduduk, ABDUL MAJID @ HASSAN MOHD. HUSSAIN, 78, yang ditemui kemudian memberitahu, beliau tidak menyangka bahawa Kerajaan Negeri hari ini sanggup mengutamakan permohonan penduduk, walaupun tanah tersebut boleh dibangunkan dengan pelbagai projek komersial lain.

“Semasa itu kami, pendudukpenduduk membeli tanah ini dalam satu geran, tetapi selepas lebih 30 tahun baru  impian kami dikotai oleh Kerajaan.

“Saya begitu gembira…saya mungkin sudah tua tapi tanah ini boleh didiami oleh anak-anak suatu hari nanti,” jelasnya sambil merakamkan penghargaan kepada pentadbiran Guan Eng.

Beliau turut memuji komitmen Kasthuriraani yang mengetengahkan kembali isu malar segar tersebut kepada Kerajaan Negeri.

Ibu tunggal, T. MANOHARI, 63, turut memuji pentadbiran Kerajaan Negeri kerana mengutamakan hasrat penduduk Kampung Nenas yang berbilang kaum.

“Saya sudah beli tanah ini 35 tahun lalu, saya begitu gembira, dan majlis (jamuan malam) ini dianjurkan oleh  persatuan penduduk untuk menghargai keprihatinan Kerajaan Negeri. “Dalam kampung ini semua kaum ada, dan Kerajaan Negeri tunjuk komitmen dengar pendapat penduduk Kampung Nenas yang pelbagai kaum ini,” jelasnya yang ditemani anak perempuannya, S. Jaya Bavani, 22.