GUPPY teraju Program Sisa Sifar Industri MPSP

Oleh: AHMAD ADIL MUHAMAD


BUKIT TENGAH – Guppy atau Guppy Industries Sdn. Bhd. antara tiga kilang di Seberang Perai yang mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan Program Sisa Sifar Industri bagi mengurangkan kesan jejak karbon dari kilang.

Pengurus kilang Guppy, Tan Teik Huat berkata, inisiatif ini diambil bagi membantu Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) mengurangkan penjanaan sisa pepejal dari hasil industri.

“Menyedari sektor perindustrian menghasilkan sisa pepejal yang banyak, Guppy, berusaha mengambil inisiatif bagi menjayakan matlamat pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

“Guppy, berharap inisiatif ini dapat menjadi contoh kepada syarikat-syarikat industri yang lain supaya bersama-sama mengurangkan penjanaan hasil pepejal,” katanya pada Majlis Pelancaran Program Sisa Sifar Guppy, dekat Kawasan Perusahaan Bukit Tengah di sini baru-baru ini.

Yang di-Pertua MPSP, Maimunah Mohd. Sharif turut hadir pada majlis tersebut.

Maimunah ketika memberikan ucapan berkata, langkah Guppy, patut dipuji memandangkan penjanaan sisa pepejal akan mempercepatkan kepadatan tapak pelupusan sampah.

“MPSP mensasarkan untuk mengurangkan penjanaan sisa pepejal sebanyak lima peratus berbanding jumlah sampah yang dijanakan pada tahun lepas.

“Dengan inisiatif Guppy, ini, diharapkan dapat membantu MPSP menjayakan sasaran tersebut,” katanya.

Katanya lagi, sebanyak RM74.1 juta telah dibentangkan dalam Bajet 2014 MPSP untuk pengurusan sisa pepejal.

“Peruntukan yang dibentangkan untuk pengurusan sisa pepejal sangat tinggi… telah tiba masanya syarikat-syarikat industri yang lain mengikut  jejak Guppy, bagi membantu MPSP mengurangkan peruntukan tersebut,” katanya lagi.

Pun begitu, katanya, sehingga kini,  hanya tiga kilang bersama-sama MPSP  dalam Program Sisa Sifar, manakala, 132 buah kilang lain di Seberang Perai terlibat dalam program kitar semula.

Dalam perkembangan lain, Guppy, menyumbangkan 595 helai poncho kepada MPSP, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Bukit Tengah, Jabatan Pertahanan Awam (JPA), Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) Seberang Perai Tengah dan Pasukan Peronda Sukarela (PPS).

Sisa sifar merupakan satu program yang menekankan amalan tiada sisa basah yang dibuang, tetapi, diasingkan untuk dijadikan kompos atau biogas, selain, usaha kitar semula sisa pepejal itu.