Naik taraf Jalan Bukit Tambun, bukti pembangunan seimbang tidak pinggir rakyat SPS

BUKIT TAMBUN – Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng memaklumkan bahawa projek naik taraf Jalan Bukit Tambun dekat Batu Kawan sepanjang 2.1 kilometer (km) bernilai RM23.9 juta kini siap 70 peratus.

Katanya, projek naik taraf dari dua lorong kepada enam lorong (dua hala) tersebut bakal merancakkan pembangunan serta kepesatan ekonomi di Batu Kawan dan Seberang Perai Selatan (SPS).

“Projek melebarkan jalan sedia ada dari 11 meter kepada 40 meter lebar adalah lebih dari dua kali ganda saiz asal.

“Baru-baru ini, kita juga mengumumkan projek pelebaran sebuah jambatan tidak jauh dari sini yang menelan belanja RM33.5 juta di bawah program tanggungjawab korporat sosial (CSR) Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) sebagai persediaan kemajuan kawasan Batu Kawan,” ujarnya pada Majlis Pelancaran Projek Pelebaran Jalan Bukit Tambun, Batu Kawan di sini 12 Ogos lalu.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng; Setiausaha Perbandaran bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Ir. Rosnani Mahmod; Pengurus Besar PDC, Datuk Rosli Jaafar dan Ahli-ahli Majlis bagi MPSP.

Menurut Guan Eng, antara kepesatan pembangunan di Batu Kawan termasuk kemasukan pelabur-pelabur bagi sektor elektronik, industri kecil sederhana (IKS), penambahan peluang pekerjaan, pembukaan pusat membeli-belah ternama IKEA dan projek-projek perumahan.

“Ini menunjukkan Kerajaan Negeri kini menjalankan pembangunan seimbang dan tidak meminggirkan rakyat di Seberang Perai terutamanya di SPS.

Tambah Guan Eng, Kerajaan Negeri dan PDC tidak mahu mengulangi kesilapan yang berlaku ketika pembinaan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Jambatan Kedua), yang mana jambatan terlebih dahulu siap sebelum jalan-jalan yang menghubungkannya.

“Kita mahu ianya siap awal, bukan tiga tahun lewat seperti yang berlaku pada Jambatan Kedua sebelum ini,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih dan Ahli Parlimen Bagan.

Difahamkan projek yang bermula pada 26 Mei lalu dijangka siap 31 Disember 2017.