Harap penstrukturan semula mampu baiki prestasi semasa Penang FC

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri berharap langkah penstrukturan semula Penang Football Club Sdn. Bhd. (Penang FC) dapat memperbaiki kedudukan dan prestasi pasukan bola sepak itu dalam Liga Super musim ini.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa setakat ini, prestasi Penang FC dalam saingan Liga Super masih belum memuaskan.

 

Saya faham terdapat penstrukturan semula pada peringkat pengurusan, jurulatih dan pemain serta memerlukan sedikit masa sebelum pasukan kembali beraksi.

 

“Walaupun ketinggalan, diharapkan dengan suntikan dana sebanyak RM300,000 daripada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) ini, membolehkan pasukan Penang FC beraksi cemerlang dan memperbaiki prestasi dalam sesi perlawanan akan datang,” ujarnya yang hadir pada sesi penyerahan cek cura sumbangan kepada Penang FC di Komtar pada 12 Mei 2022.

 

SORAKAN “Haria Penang Haria” daripada Ketua Menteri.

Menurut Kon Yeow, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mula memberi sokongan kepada Penang FC sejak pasukan tersebut diperbadanan sebagai sebuah syarikat berkepentingan kerajaan di bawah pengurusan Perbadanan Ketua Menteri (CMI).

 

“Melalui sokongan ini, dapat dilihat momentum pasukan dari segi prestasi berjaya merealisasikan matlamat sehingga berjaya menjadi juara Liga Premier.

 

“(Dan) seterusnya membolehkan Penang FC menyertai Liga Super pada tahun 2021 dengan prestasi membanggakan apabila mendapat tempat ketiga (pada saingan Liga Super musim lalu).

 

Musim ini merupakan musim kedua Penang FC dalam Liga Super…tetapi prestasi belum memuaskan, dan saya percaya seluruh rakyat Pulau Pinang, khasnya peminat bola sepak, mengharapkan pasukan kita menang.

 

“Haria Penang Haria,” soraknya sambil menyeru penyokong untuk turun ke stadium bagi memberikan sokongan padu kepada Penang FC pada musim ini.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PDC, Aziz Bakar ketika ditemui menyatakan bahawa pemberian dana berjumlah RM300,000 itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) agensi pembangunan negeri tersebut.

 

AZIZ Bakar.

“Pemberian dana ini juga adalah sebagai sokongan PDC terhadap perkembangan bola sepak Pulau Pinang.

 

“(Dan) berhadap dengan pemberian ini, pasukan bola sepak negeri Pulau Pinang lebih maju ke hadapan,” katanya.

 

 

Difahamkan, sebahagian sumbangan tersebut juga bakal digunakan bagi menyediakan pasukan pelapis dalam saingan Piala Presiden dan Piala Belia.

 

Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee yang juga Pengerusi Penang FC dan Timbalan Pengurus Besar CMI, S. Bharathi antara yang turut hadir pada sesi penyerahan berkaitan di sini.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING