Jalan Kampung Lorong Batu Lancang diturap semula demi keselamatan penduduk

Admin
img 2302

AIR ITAM – Penduduk Kampung Lorong Batu Lancang kini dapat menikmati kemudahan jalan yang lebih selamat dan selesa susulan kerja-kerja penurapan semula yang dilaksanakan menerusi peruntukan khas Ahli Majlis Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) berjumlah RM38,000.

Ahli Majlis MBPP, Tan Soo Siang berkata, projek berkenaan dilaksanakan susulan aduan yang diterima daripada pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam berhubung keadaan jalan kampung yang tidak rata dan berisiko kepada pengguna.

Menurut beliau, jalan tersebut sering digunakan oleh ibu bapa untuk menghantar anak-anak ke sekolah di sekitar kawasan berkenaan.

“Pihak majlis menerima permintaan daripada pejabat ADUN kawasan selepas penduduk mengadu mengenai keadaan jalan kampung di Lorong Batu Lancang yang tidak rata dan membahayakan, khususnya kepada ibu bapa yang membawa anak-anak ke sekolah.

img 2295

“Oleh itu, saya bersama Ahli Majlis, Rohaizat Abdul Hamid menggunakan peruntukan khas Ahli Majlis bagi projek infrastruktur dan lalu lintas berjumlah kira-kira RM38,000 untuk menurap semula jalan ini agar penduduk dapat menggunakannya dengan lebih selamat.

“Sekiranya permohonan dibuat melalui bajet biasa pihak majlis, tempohnya agak panjang. Justeru, kami menggunakan peruntukan khas bagi mempercepatkan pelaksanaan projek ini,” ujarnya ketika meninjau kerja-kerja penurapan semula di sini pagi tadi.

Sementara itu, ADUN Air Itam, Joseph Ng Soon Siang memberitahu bahawa jalan kecil di kampung berkenaan merupakan laluan alternatif penting bagi ibu bapa yang menggunakan motosikal untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah berhampiran.

“Jalan kecil ini menjadi laluan alternatif kepada ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah di Batu Lancang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) George Town dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Ling.

“Keadaan jalan yang berlubang sebelum ini menimbulkan risiko keselamatan dan dengan adanya peruntukan daripada Ahli-ahli Majlis, kita berjaya menurap sebahagian laluan ini dan usaha akan diteruskan bagi baki kawasan yang masih memerlukan penambahbaikan,” katanya lagi.

Teks & Gambar: WATAWA NATAF ZULKIFLI