GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) memperkenalkan Insentif Strata MBPP, bagi membantu skim perumahan strata kos rendah dan kos sederhana rendah dalam pengurusan bangunan serta pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan harta bersama.
Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran berkata, insentif tersebut diwujudkan hasil penelitian Jabatan Pesuruhjaya Bangunan (COB) MBPP yang mendapati banyak skim strata menghadapi kesukaran membentuk badan pengurusan selain kekurangan dana bagi menjalankan penyelenggaraan dan pembaikan kecemasan.
Katanya, masalah kutipan caj penyelenggaraan yang rendah menyebabkan sebahagian Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) tidak mempunyai dana mencukupi untuk membiayai pembaikan lif, paip, tangki air, pembayaran bil utiliti serta keperluan kecemasan lain.
“Insentif Strata MBPP merupakan satu insentif strategik yang bertujuan membantu skim strata swasta kos rendah dan kos sederhana rendah, khususnya yang berdepan dengan kekangan kewangan dalam pembentukan badan pengurusan serta pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan harta bersama.
“Berdasarkan semakan MBPP, pada masa ini tiada dana khusus yang disediakan untuk tujuan tersebut. Justeru, MBPP mengambil inisiatif menyediakan bantuan ini bagi memastikan kebajikan penduduk dan kelangsungan pengurusan strata terus terpelihara,” ujarnya dalam satu sidang media sejurus Mesyuarat Biasa Majlis Bilangan 07 Tahun 2026 dekat Dewan Bandaran MBPP di sini pagi tadi.

Tambah Rajendran, MBPP memperuntukkan RM50,000 setahun bagi pelaksanaan insentif berkenaan dengan setiap permohonan layak menerima bantuan sehingga RM10,000 secara one offbergantung kepada jenis permohonan dan keperluan yang diluluskan.
Insentif itu boleh dimohon oleh Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMB), Perbadanan Pengurusan (MC), ejen pengurusan serta pemilik petak.

“Bantuan yang disediakan meliputi dua skop utama iaitu membantu kos berkaitan pengurusan, termasuk pembentukan JMB atau MC seperti penganjuran Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) atau Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM), selain kerja-kerja penyelenggaraan harta bersama yang bersifat kecemasan selaras dengan Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757).
“Hanya skim strata kos rendah dan kos sederhana rendah yang mempunyai harga belian asal RM100,000 dan ke bawah (tidak termasuk pembangunan bercampur) layak memohon insentif tersebut.
“Selain itu, skim berkenaan hendaklah telah mempunyai status JMB atau MC, dengan kadar kutipan cukai taksiran sekurang-kurangnya 60 peratus daripada keseluruhan pemilik petak berdaftar berdasarkan rekod semakan MBPP.
“Setiap permohonan juga perlu mengemukakan senarai terkini nama pemilik atau pembeli petak sebagai sebahagian daripada syarat permohonan,” jelasnya lagi.
Difahamkan permohonan kali kedua dan seterusnya hanya akan dipertimbangkan selepas tempoh lima tahun daripada tarikh kelulusan insentif terdahulu.
Serentak dengan itu, penerima insentif juga diwajibkan mengemukakan laporan pelaksanaan kerja-kerja pembaikan atau penggantian mengikut skop permohonan yang telah diluluskan sebagai syarat pemantauan penggunaan dana.
“Insentif ini akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2027, selaras dengan peruntukan yang diluluskan di bawah Belanjawan MBPP,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Ahli Majlis MBPP, Foo Yu Keong mengesyorkan agar satu kajian semula dilaksanakan terhadap Undang-Undang Kecil Beca 1949 bagi memperkasakan aspek pengurusan, sistem pelesenan, penguatkuasaan terhadap beca dan penarik beca, serta penetapan laluan yang dibenarkan.
Katanya, kajian tersebut perlu dijalankan agar ia selaras dengan keperluan semasa menambah baik industri beca dan keselamatan jalan raya.
“Antara pertimbangan wajar meliputi pelesenan, kod etika, kadar tambang, laluan khas dan perkara-perkara berbangkit lain selaras dengan status George Town sebagai destinasi pelancongan antarabangsa.
“Saya percaya bahawa matlamat kita bukan untuk menyekat industri beca, sebaliknya untuk memastikan warisan ini terus dipelihara secara lebih tersusun, profesional dan selamat demi kepentingan semua pihak.” katanya.