Harap projek-projek tebatan banjir dapat dipercepat demi manfaat rakyat

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap agar projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Pinang fasa dua yang tergendala sejak 20 tahun lalu dapat dilaksanakan segera demi manfaat rakyat di negeri ini.

Beliau berkata, projek yang menelan kos kira-kira RM150 juta itu amat diperlukan bagi menangani masalah banjir di kawasan Datuk Keramat, Jalan P. Ramlee serta kawasan-kawasan sekitarnya.

Projek RTB Sungai Nipah dekat Taman Iping telah mencapai kemajuan 69 peratus.

“Kita tahu bahawa RTB Sungai Pinang telah 20 tahun dibincangkan namun masih tidak dilaksanakan. Oleh itu, kita harap agar kali ini, pihak perunding yang dilantik dapat mengemas kini cadangan reka bentuk untuk dimuktamadkan sebelum pelaksanaan tender.

“Pelan cadangan projek yang dikemukakan bagi projek ini adalah untuk mencari satu penyelesaian holistik bagi lembangan Sungai Pinang.

“Justeru, bagi pakej pertama RM150 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) ini diharap dapat dimulakan dengan segera kerana satu lembangan mungkin membabitkan kos hampir RM600 juta. Oleh itu, ia perlu dilaksanakan mengikut fasa,” katanya semasa mengadakan lawatan ke lembangan Sungai Pinang di sini pagi tadi.

Turut serta, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo; Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim; ADUN Batu Lancang, Ong Ah Teong; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer serta Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang, Ir. Shukri Muslim.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata bahawa Sungai Pinang merupakan sistem sungai terbesar di bahagian pulau dan mempunyai lima anak sungai yang mengalir dari Bukit Bendera dan Air Itam sehingga ke Jelutong.

Chow Kon Yoew meninjau kerja-kerja pembinaan bagi projek RTB dekat Bayan Baru.

“Oleh kerana Sungai Pinang perlu menerima air dari lima anak sungai, maka ia tidak mampu menampung air yang banyak.

“Jadi beberapa cadangan kita adalah bertujuan untuk memastikan air dari Bukit Bendera dan Air Itam dapat dialirkan ke kawasan-kawasan lain,” ujarnya.

Selain RTB Sungai Pinang, Kon Yeow dan delegasi turut melawat beberapa projek tebatan banjir lain di Bayan Baru dan Batu Maung.

Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Negeri turut mengarahkan JPS untuk memastikan projek-projek tebatan banjir berimpak tinggi yang dilaksanakan pada 2018 dapat disiapkan dengan kadar segera bagi mengurangkan risiko banjir di beberapa kawasan di negeri ini.

“Projek-projek ini dilaksanakan dengan peruntukan Kerajaan Negeri sebanyak RM150 juta untuk menangani masalah banjir kilat di enam kawasan hitam di negeri ini.

“Justeru, saya juga berharap agar JPS akan mengenal pasti projek-projek yang perlu dilaksanakan pada masa depan dan memohon peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan serta negeri,” ulasnya.

Dalam pada itu, Zairil menjelaskan bahawa projek RTB Sungai Nipah dekat Taman Iping kini telah siap 69 peratus yang menelan kos kira-kira RM15.23 juta.

“Menariknya, projek ini mempunyai dua rumah pam yang akan dibina di samping penaiktarafan sistem dalaman.

“Sekiranya projek ini siap, ia bakal mengurangkan 70 peratus risiko banjir di kawasan-kawasan terlibat,” jelasnya.

Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan yang juga ADUN Batu Maung, Dato’ Abdul Halim Hussain turut menyertai lawatan tersebut.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS