Tiada siapa tahu COVID-19 sampai bila, Kon Yeow syor tempoh Program Subsidi Upah dilanjutkan lagi

Admin

GEORGE TOWN – Pelaksanaan Program Subsidi Upah bernilai RM5 bilion selama tiga bulan sebelum ini, dilanjutkan tiga bulan lagi demi merosotkan lagi paras peratusan pengangguran akibat pandemik COVID-19.

Perdana Menteri mengumumkan perkara itu ketika membentangkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), semalam.

KETUA Menteri.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow hari ini memberitahu bahawa Majlis Keselamatan Negara (MKN) sendiri tidak dapat menjangkakan tempoh sebenar untuk semua sektor serta teras ekonomi negara yang terjejas teruk akibat COVID-19, kembali pulih.

Justeru, beliau berharap Kerajaan Persekutuan melanjutkan lagi tempoh Program Subsidi Upah demi memastikan rakyat teramai terus ada pendapatan, selain majikan boleh memperbaiki kedudukan kewangan syarikat mereka masing-masing.

“Saya rasa sebarang bantuan dialu-alukan, sebab satu masalah sekarang adalah ramai terkesan daripada segi jumlah pendapatan yang sudah berkurangan, perlu menghadapi risiko mengurangkan pekerja-pekerja dalam syarikat.

“Jadi, dengan bantuan (melalui PENJANA) ini, bantuan (Program Subsidi Upah) itu sudah mula cuma tiga bulan.

“Saya rasa ketika insentif (Program Subsidi Upah) ini ditawarkan, tidak siapa tahu berapa lama COVID-19 akan berlarutan serta membawa impak,

“Jadi, mungkin dengan insentif ini melanjutkan tiga bulan lagi, dengan tujuan syarikat tidak menghentikan mana-mana pekerja, ini suatu langkah untuk memastikan pekerja-pekerja tidak hilang kerja dalam tempoh (pandemik) ini,” jelasnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Khas (JKKN) sejurus pelancaran portal carian kerjaya serta padanan majikan-pekerja Penang Youth Development Corporation (PYDC) pada 6 Jun 2020 di sini.

Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong turut berharap para majikan dapat memanfaatkan Program Subsidi Upah untuk terus bertahan serta meneruskan operasi perniagaan masing-masing, tanpa penyingkiran mana-mana pekerja.

Jabatan Perangkaan Malaysia pada 14 Mei 2020 antara lain mendedahkan kadar pengangguran di Malaysia adalah di paras 3.9 peratus atau sekitar 610,000 orang pada bulan Mac 2020.

Malah, difahamkan bahawa kadar pengangguran dijangka akan meningkat kepada 5.5 peratus atau lebih 860,000 orang penganggur untuk keseluruhan tahun 2020.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALVIE CHENG
Video : LAW SUUN TING